Ketajaman Kane bantu Bayern mara pusingan kalah mati

Iklan
Harry Kane - Foto AFP

HARRY Kane menjaringkan dua gol dalam tempoh tujuh minit pada penghujung perlawanan untuk membantu Bayern Munich menang 2-1 ke atas Galatasaray pada Khamis dan mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.

Kapten England itu yang menjaringkan hatrik menentang Borussia Dortmund dalam Bundesliga pada Sabtu lalu, menanduk masuk sepakan percuma Joshua Kimmich pada minit ke-80 dan kemudian menjaringkan gol kedua enam minit kemudian.

Iklan
Iklan

Dia telah menjaringkan empat gol dalam empat perlawanan Liga Juara-Juara pertamanya untuk Bayern selain turut telah meledak 15 gol dalam 10 perlawanan Bundesliga.

Dia juga merupakan pemain Inggeris ketiga yang berjaya mencapai 25 gol dalam pertandingan itu.

Iklan

"Ia adalah perlawanan yang sukar. Saya fikir kami mengawal permainan dengan lebih baik kali ini. Kami tahu pada separuh masa kedua kami hanya mengekalkan momentum itu."

"Selalunya banyak perkara yang perlu dilakukan dalam perpindahan, di dalam dan di luar padang. Jadi sudah tentu sentiasa ada lebih banyak tekanan dan jangkaan, tetapi saya sangat gembira dengan permulaan yang baik," kata Kane.

Iklan

Pasukan pelawat mengurangkan defisit pada masa kecederaan separuh masa kedua melalui gol Cedric Bakambu.

Kemenangan itu menyaksikan Bayern melebarkan rekod tanpa kalah mereka dalam perlawanan kumpulan Liga Juara-Juara kepada 38 perlawanan.

Mereka menduduki tempat teratas Kumpulan A dengan 12 mata dan akan mengakhiri saingan kumpulan di kedudukan dua teratas dengan baki dua perlawanan.