BESUT - Tiga pekerja warga Indonesia dipercayai tertimbus dalam runtuhan bangunan resort yang masih dalam proses pembinaan di Pulau Perhentian dekat sini pada Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut, Mohamad Jusoh berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian tersebut pada jam 7.34 pagi tadi.
"Seramai tujuh mangsa terlibat dalam kejadian itu.
"Bagaimanapun empat lagi mangsa berjaya diselamatkan dan mereka mereka hanya mengalami kecederaan dan luka di beberapa anggota badan.
"Tiga mangsa lagi masih terperangkap di bawah runtuhan dan usaha menyelamatkan mangsa terlibat sedang giat dijalankan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.
Jelas Mohamad, kesemua mangsa dihantar ke Klinik Pulau Perhentian untuk menerima rawatan lanjut.
Katanya lagi, seramai empat anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian manakala tambahan anggota akan dihantar secara berperingkat dengan menaiki bot.