Pemilik syarikat mengaku salah buat tuntutan palsu

Iklan
Pemilik syarikat (tengah) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas dua pertuduhan membuat tuntutan palsu.

KUALA TERENGGANU - Pemilik syarikat mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Khamis atas dua pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM85,500 di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 PERKESO pada 2021.

Tertuduh, Burhanuddin Helmi Che Awang, 29, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman selepas pertuduhan pilihan pertama dibacakan jurubahasa.

Iklan
Iklan

Mengikut kertas pertuduhan, Burhanuddin Helmi dengan curangnya telah menggunakan sebagai tulen suatu dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja (Hiring Insentive Program) kepada PERKESO Terengganu.

Ia bagi menuntut insentif berjumlah RM40,600 di bawah program itu yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Iklan

Tertuduh didakwa berbuat demikian di Perkeso Terengganu di sini pada 18 Jun 2021.

Burhanuddin Helmi dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama iaitu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Iklan

Bagi pertuduhan pilihan kedua pula, tertuduh dengan curangnya menggunakan Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja (Hiring Insentive Program) kepada PERKESO Terengganu.

Ia bagi menuntut insentif berjumlah RM44,900 di bawah program itu yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Tertuduh didakwa berbuat demikian di PERKESO Terengganu, di sini pada 19 Jun 2021.

Burhanuddin Helmi dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama iaitu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM6,000 atau dua bulan penjara bagi pertuduhan pilihan pertama manakala denda RM8,000 atau tiga bulan penjara bagi pertuduhan pilihan kedua.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mariah Omar dan Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob manakala tertuduh tidak diwakili peguam.