SUBANG JAYA - Gara-gara menegur rakan membuat bising, seorang lelaki warga Bangladesh cedera dipukul dalam kejadian di sebuah asrama pekerja warga asing di Jalan TP 7/7, Subang Jaya dekat sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 pagi ketika mangsa berumur 34 tahun itu berada di asrama terbabit bersama rakannya.
"Siasatan mendapati berlaku perselisihan faham antara mangsa dengan suspek sebelum dia dipukul dengan sebatang kayu menyebabkan bahagian belakang kepalanya cedera.
"Suspek dipercayai berada dalam keadaan mabuk serta berbuat bising sebelum tindakannya ditegur mangsa
"Mangsa dilaporkan stabil dan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di hospital berdekatan," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, suspek berumur 37 tahun yang juga warga Bangladesh diberkas kira-kira jam 10.45 pagi untuk siasatan lanjut berkaitan kejadian.
"Polis turut merampas kayu dipercayai digunakan untuk memukul mangsa," katanya.
Kes disiasat di bawah seksyen 324 Kanun Keseksaan.