JARINGAN penalti lewat perlawanan Lautaro Martinez membantu Inter Milan menempah tempat ke pusingan 16 Liga Juara-Juara selepas menang 1-0 ke atas RB Salzburg di Red Bull Arena Salzburg awal pagi Khamis.
Kekalahan itu memadamkan hasrat juara Austria tersebut untuk mara ke fasa berprestij kejuaraan bola sepak kelab Eropah berkenaan dengan aksi berbaki dua perlawanan.
Martinez yang dimasukkan sebagai pemain gantian menggantikan Alexis Sanchez pada minit ke-68 memastikan kemenangan kelab Serie A menerusi gol lima minit sebelum perlawanan berakhir.
Tiga mata itu membolehkan anak buah Simone Inzaghi berada di tempat kedua Kumpulan D dengan 10 mata, sama mata dengan pendahulu Real Sociedad yang memperoleh kemenangan selesa 3-1 ke atas Benfica.
"Saya sangat gembira dengan kemenangan ini selepas diletakkan dalam kumpulan yang sangat sukar tetapi kami melakukan apa yang perlu lakukan untuk layak ke pusingan seterusnya.
"Perjalanan masih panjang, kami masih mempunyai dua perlawanan untuk melihat sama ada kelab fantastik ini boleh menamatkan saingan di tempat teratas.
"Saya amat teruja melihat gaya dan cara kelab ini berkembang, kami telah menjadi pasukan yang lebih matang dalam perlawanan seperti ini,” kata Martinez yang telah menjaringkan 12 gol dalam 11 perlawanan Serie A musim ini.
Sebagai rekod, finalis musim lalu Inter, menikmati kempen Liga Juara-Juara paling berjaya sejak menjulang trofi pada 2010 di bawah kendalian Jose Mourinho, menewaskan Salzburg 2-1 dalam perlawanan peringkat kumpulan bulan lalu.