Kejadian kepala air di Sintok luar jangkaan - APM Kedah

Iklan
Mohd Muaz (kiri) semasa melakukan pemantauan di Sungai Kedah menjelang MTL, di Alor Setar pada Khamis.

ALOR STAR - Kejadian kepala air di Bukit Kachi berhampiran kampus utama Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok di Kubang Pasu pada Selasa adalah kali pertama berlaku dan tidak berada di dalam senarai 39 lokasi panas di Kedah.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, kepala air boleh berlaku di mana-mana lokasi bukit atau pun di tepi sungai dan orang awam diminta agar sentiasa berwaspada.

Iklan
Iklan

Menurutnya, orang awam dinasihatkan agar mengelak daripada melakukan aktiviti luar di kawasan bukit dan tepi sungai sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) bagi mengelak kejadian kepala air.

"Insiden kepala air di Sintok adalah kejadian yang tidak dijangka dan mungkin terdapat lebih banyak kawasan bukit dan tepi sungai yang boleh terdedah kepada fenomena ini," katanya pada sidang akhbar pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas melakukan pemantauan di Sungai Kedah, di sini.

Mohd Muaz berkata lagi, orang awam yang mengunjungi pusat rekreasi atau sungai perlu mematuhi langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya dalam tempoh MTL.

Penduduk membersihkan surau di tapak perkhemahan di Kem Sungai Batu yang ditenggelami kepala air, dekat Sintok pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, berdasarkan makluman Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), monsun ini akan berterusan dari 9 November hingga Mac tahun depan.

"Tanda-tanda fenomena kepala air adalah air yang mengalir deras berbuih atau keruh disertai dahan pokok dan daun kering.

"Selain itu, orang awam perlu awasi awan gelap di puncak bukit. Ini mungkin menunjukkan hujan lebat secara tiba-tiba dengan jumlah hujan yang besar," ujarnya lagi.

Pada Selasa, fenomena kepala air berlaku di Bukit Kachi berhampiran kampus utama UUM di Sintok berikutan hujan lebat dan ribut petir selama beberapa jam.

Fenomena itu menyebabkan tapak perkhemahan lereng bukit, empat rumah, surau dan taman di dalam UUM dinaiki air.