KOTA BHARU - Seramai 20,000 penduduk Orang Asli di pedalaman Kelantan membantah cadangan pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) oleh kerajaan negeri itu yang didakwa bakal mengancam tanah adat mereka.
Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Mustafa Along berkata, komuniti itu bimbang terhadap kesan buruk yang akan dihadapi jika cadangan itu diluluskan kelak.
Katanya, penduduk di 15 perkampungan Orang Asli di Gua Musang dan Lojing yang didakwa akan terlibat masih berpegang teguh kepada tradisi kehidupan mereka yang berkait rapat dengan hutan.
Menurut beliau, kepercayaan mereka masih bergantung dengan hutan untuk mencari makan dengan berburu, itu budaya dan adat tradisi kami semua daripada hutan.
"Kalau kawasan alam sekitar tidak dipelihara, kami sebagai warganegara Malaysia berasa hak kami dicabuli sedangkan Perkara 11 Perlembagaan menyebut tentang kebebasan untuk mengamalkan kepercayaan.
"Kami masih ada yang bersewang dan mengamalkan adalisme, apabila hutan dimusnahkan dengan perlaksanaan projek nanti maka kami sudah tak boleh mengamalkan kehidupan secara adat,” katanya pada sidang akhbar selepas menyerahkan borang bantahan di Kota Darulnaim di sini, pada Khamis.
Turut bersama-sama mereka menyerahkan borang bantahan itu ialah badan bukan kerajaan (NGO) Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Save Kelantan dan Kelab Cakna Alam Negeri Kelantan.
Ujarnya, kampung-kampung orang Asli yang dijangka terjejas itu termasuklah di Gua Musang iaitu di Rancangan Penempatan Semula Orang Asli Kuala Betis, Pos Anggek, Bog Panes, Tohoi, Simpor, Gob, Pasik, Bog, Uyas, Pulat, Hau, Balar dan Belatim.
"Di Lojing pula melibatkan perkampungan Ber, Haed dan Manrod yang akan terancam kerana sumber makanan terjejas.
"Selain kehilangan jati diri, adat, budaya dan tradisi Orang Asli, tindakan pengubahsuaian ini juga akan mengundang haiwan liar seperti harimau dan gajah keluar kerana habitat mereka diganggu,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam, Hafizudin Nasarudin mendakwa cadangan oleh Kerajaan Kelantan tersebut antara yang terbesar pernah dilakukan dan tidak sepatutnya berlaku mahu pun dicontohi negeri lain.
Katanya, kelulusan cadangan itu mungkin akan menyebabkan bencana alam seperti banjir yang lebih besar sebanyak 10 kali ganda berbanding tahun 2014.
"Cadangan ini bagi kami agak tak masuk akal. Kawasan hutan simpan di Kelantan masih besar, kira-kira lebih 600,000 hektar dan yang nak dimansuhkan dikatakan kawasan alam sekitar dalam hutan simpan itu lebih 500,000 hektar.
"Kita anggarkan lebih kurang 80 peratus pemansuhan yang akan menyebabkan kemusnahan yang berskala besar terhadap hutan di Kelantan,” kata beliau.