TERTARIK saya membaca mengenai seorang remaja"misteri” dari Kelantan baru-baru ini yang membuktikan sedikit kreativiti sudah boleh menyemarakkan sumber rezeki.
Umurnya 16 tahun sahaja, tapi fikirannya matang, lebih ke depan daripada ramai yang jauh lebih berusia daripadanya. Hanya dengan sedikit imaginasi, semangat dan kesediaan untuk membuat kelainan, dia berjaya memikat pelanggan yang berpusu-pusu memenuhi kedai teh tarik di mana dia jadi pembantu.
Remaja itu cuma kenakan pakaian spider-man lengkap dengan topeng, kasut dan sarung tangan. Ada hari-hari dia berpakaian ultraman atau mickey mouse. Hanya dengan sedikit modal yang dikeluarkan pengusaha kedai, berani berbeza dan rajin, dia menarik ramai pelanggan.
Pengusaha kedai itu, yang juga seorang pemuda, tentunya mendapat pulangan yang berbaloi juga.
Bayangkan kalau satu gelas teh tarik dijual dengan harga RM3 berapa hasilnya kalau dari pagi hingga petang dia jual 300 gelas. Remaja itu nampaknya berazam mengekalkan misteri dengan tidak mendedahkan wajahnya sebagai gimik untuk terus menarik pelanggan.
Cukup dahulu cerita remaja misteri. Baru-baru ini saya ke klinik dekat rumah. Seorang pemuda datang, buka dua meja kecil dan letak dalam 80 biji roti pelbagai jenis buatan sendiri di atasnya di luar klinik. Satu roti dia jual RM2.50. Dalam tempoh 15 minit sahaja kira-kira 30 biji rotinya sudah disambar pelanggan.
Saya beli lapan biji dan beredar. Seorang lagi datang beli enam. Dua orang sudah berdiri untuk membeli entah berapa. Saya percaya paling lama 2 jam, insya-Allah habislah semua rotinya itu.
Satu lagi cerita. Seorang pemuda lagi yang saya kenal, menawarkan khidmat baiki, cuci dan pasang pendingin udara. Dia tidak berkursus pun; belajar sambil bekerja sahaja sebelum buat niaga sendiri.
Modal pun tidak seberapa, rasanya RM2,000 tidak sampai ketika memulakan lima tahun lalu. Hari ini dia tidak menang tangan jawab panggilan telefon pelanggan. Sudah miliki dua kereta, mempunyai dua pembantu.
Banyaklah lagi contoh pemuda rajin kalau saya nak kongsi tapi faham-faham sahajalah banyak mana boleh saya nukilkan dalam ruang yang terhad ini. Secara ringkas, betullah seperti yang sering kali kita dengar di negara seperti Malaysia ini, campak benih di mana sahaja pun akan tumbuh pokok.
Begitu subur tanah kita, begitu banyak peluang sumber rezeki yang ada; seperti seorang usahawan kaya menulis dalam bukunya, The Road is Pave With Gold, bahawa di mana sahaja ada sumber rezeki dengan syarat kita rajin. Terpulang kepada kita mahu mengambilnya atau tidak. Tepuk dada...
Malangnya, sementara ada yang rajin, ramai juga yang memilih untuk membiarkan rezeki bertaburan sahaja. Mereka lebih rela buang masa lepak dan membahayakan nyawa merempit, pilih untuk mengumpat dan cakap kosong daripada berusaha cari rezeki, dan buat tahi mata lebih banyak daripada berkhidmat untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
Tidak boleh dinafikan sikap malas dan pilih kerja dalam kalangan orang-orang muda kita jugalah yang turut menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran di pelbagai sektor di negara kita ini. Kadar pengangguran belia di Malaysia dianggarkan mencecah 10.7 peratus pada 2015 iaitu tiga kali lebih tinggi daripada kadar pengangguran negara, iaitu 3.1 peratus.
Perlu disebut, Malaysia adalah antara negara di wilayah ini yang mengalami kadar pengangguran belia dalam dua angka. Berdasarkan kajian buruh terbaharu 2017, kadar pengangguran belia direkodkan pada 10.8 peratus. Pengangguran dalam kalangan graduan pula dalam 2017 kira-kira 204,000 mewakili 40.5 peratus daripada jumlah pengangguran di seluruh negara.
Kerja kemahiran rendah mendominasi kadar pengangguran dalam pasaran pekerjaan. Untuk mudah difahami, bagi setiap 100 pekerjaan, 76 untuk"elementary” (kerja mudah/asas) dan 10 untuk kilang dan operasi kejenteraan serta pemasangan jentera.
Kalau ikut kajian seperti yang akan disebut di bawah ini, mungkin kita boleh tarik nafas lega sedikit. Katanya, bagi tahun yang baru lepas keadaannya diramalkan telah memberi harapan kepada yang memerlukan pekerjaan.
Berdasarkan pembangunan terbaharu ekonomi dunia dan domestik, ekonomi negara dikatakan berkembang kepada 5.5 peratus.
Hasil daripada perkembangan ini, kadar pengangguran belia turun sedikit kepada 9.9 peratus sementara kadar pengangguran keseluruhannya mencatat 3.3 peratus.
Kini kita lupakan 2018. Ia sudah pun berlalu. Ini 2019; tahun baharu, peluang kerja banyak dibuka. Kerja kosong banyak menanti.
Latihan kemahiran pun disediakan di mana-mana. Ada walk-in interview, banyak yang boleh mohon dalam talian.
Jadi apa lagi. Kan jalan ini bertaburan dengan emas! Rebutlah peluang yang banyak itu.
* Penulis bekas wartawan yang cenderung menulis mengenai pelbagai isu untuk kepentingan rakyat dan negara