BESUT - Dua mangsa tertimbus berjaya diselamatkan, manakala seorang lagi masih hilang dalam runtuhan bangunan restoran di sebuah resort di Pulau Perhentian dekat sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, dua pekerja lelaki warga Indonesia masing-masing berusia 33 dan 48 tahun itu dijumpai selamat dan kemudian mereka dihantar ke Hospital Besut untuk menerima rawatan lanjut.
"Pihak polis menerima laporan pada jam 6 pagi daripada orang awam yang memaklumkan berlaku runtuhan di sebuah resort di Pulau Perhentian melibatkan tujuh mangsa.
"Hasil siasatan mendapati ketika penyelia sedang tidur, dia terdengar bunyi dentuman bangunan restoran runtuh. Dia yang kemudian keluar dari bilik mendapati bangunan restoran telah runtuh.
"Keadaan ketika itu masih gelap selain jarak pejabat dengan lokasi kejadian lebih kurang 30 meter," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini seorang mangsa masih belum dijumpai.
"Usaha mencari mangsa masih diteruskan," ujarnya.