NAHRIM promosi guna air hujan atasi isu air

Iklan
Nik Nazmi ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) giat mempromosikan penuaian air hujan secara besar-besaran sebagai salah satu alternatif yang dilaksanakan bagi menangani isu air di seluruh negara.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, selain untuk kegunaan air bukan minuman seperti banyak dilakukan di seluruh dunia ketika ini, ia juga digunakan untuk bekalan air minuman.

Iklan
Iklan

"Penuaian air hujan ini tidak dilihat sebagai menarik dan lebih murah apabila dibuka saja paip air itu...tetapi kalau di negara lain seperti Australia apabila tiba musim kemarau menjadi satu jenayah jika menggunakan air yang dirawat untuk mencuci kereta kerana ia hanya boleh digunakan untuk minuman.

"...tarif air kita adalah terlalu rendah dan kebanyakan kerajaan negeri bersetuju untuk kita bawa kertas mekanisme penetapan tarif dan juga Mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) air ke jemaah menteri sebelum hujung tahun dengan harapan dapat membenarkan tarif-tarif baharu menjelang tahun 2024,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sesi jawab lisan, di Dewan Rakyat pada Khamis bagi menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berhubung bidang kuasa NAHRIM dalam mendidik rakyat di negara ini tentang penggunaan air hujan.

Sementara itu beliau berkata, projek pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) yang dirancang di Machang, Kelantan kini dalam proses perolehan.

Iklan

Projek itu katanya, yang diluluskan dengan peruntukan geran berjumlah RM650 juta di di bawah Rancangan Boleh Pinda Ke-3 (RP3) mampu membekalkan 500 Juta Liter Sehari (JLH) air mentah, mencukupi untuk negeri Kelantan khususnya di Daerah Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh sehingga tahun 2030.

Projek itu penting bagi memastikan bekalan sumber air mentah yang sentiasa mencukupi dan tidak terjejas untuk kegunaan loji rawatan air (LRA) yang terlibat terutamanya pada musim kemarau.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Mumtaz berhubung langkah yang dilakukan kerajaan untuk memastikan negara tidak berdepan dengan krisis air terutama di negeri yang masih tidak mempunyai empangan seperti Kelantan. - Bernama