NILAI - Sebuah premis di kawasan perindustrian Nilai di sini serbu pihak berkuasa selepas dipercayai menggunakan logo halal pada produk madu tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa berwibawa dalam Operasi Bersepadu pada Khamis.
Perbuatan itu dikesan hasil perkongsian maklumat dan pemantauan oleh pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan bersama Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, pemeriksaan awal mendapati premis tersebut memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bagi produk jus limau yang dikeluarkan.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, premis tersebut telah menggunakan logo halal pada produk madu yang dikeluarkan tanpa kebenaran pihak bertanggungjawab.
"Tindakan telah diambil terhadap premis tersebut di bawah Peraturan 8 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 kerana melanggar Peraturan 4(1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya, selain tindakan kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, KKM juga telah mengeluarkan kompaun terhadap premis tersebut.
"Kompaun itu bagi kesalahan tidak menyedia dan mengadakan Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan kesalahan gagal menyediakan Rekod Latihan Pengendali Makanan, selain turut diarahkan tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
"JHEAINS juga mengesyorkan SPHM premis tersebut digantung dan ditarik," katanya.
Dalam pada itu katanya, KPDN Negeri Sembilan bersama-sama agensi berkaitan akan terus menjalankan pemeriksaan yang sama ke atas mana-mana pihak yang didapati menggunakan logo halal pada mana-mana produk makanan atau perniagaan tanpa mendapat perakuan halal yang sah.
"Peniaga dinasihatkan supaya mematuhi perundangan yang berkuatkuasa dalam menjalankan perniagaan dan perdagangan masing-masing.
"Selain itu, pengguna juga diingatkan supaya berhati-hati dan membuat semakan penggunaan logo halal yang digunakan pada premis serta produk samada produk makanan, minuman atau barang gunaan dengan melayari https://www.halal.gov.my/v4/index.php," katanya.