Muda dijangka berdepan krisis kepercayaan rakyat - Penganalisis

Iklan
Syed Saddiq menjadi wakil rakyat pertama dikenakan hukuman sebatan bagi kesalahan jenayah kolar putih. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dijangka berdepan krisis kepercayaan rakyat terhadap perjuangan parti itu selepas Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tersabit kesalahan kes jenayah kolar putih.

Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Nordin berkata, ahli parti perlu segera bertindak bagi menangani persepsi dan tanggapan umum.

Iklan
Iklan

"Saya rasa dalam kes beliau (Syed Saddiq) tidak ada kaitan dengan masa depan parti kerana apa yang berlaku adalah salah satu bentuk hukuman selepas didapati bersalah termasuk ahli politik.

"Jadi, parti ini mungkin akan hadapi sedikit masalah tetapi mana-mana parti dalam negara ini sebenarnya sudah tentu mempunyai zaman dijulang, kemuncak dan kejatuhan termasuk Muda sendiri.

Iklan

"Ini selalunya akan menjadi salah satu petunjuk atau penanda aras kepada parti-parti lain dengan mengambil iktibar dan belajar daripada perkara yang berlaku demi kebaikan demokrasi matang politik negara," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Syed Saddiq ketika tiba di Mahkamah Kuala Lumpur pagi tadi. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis memutuskan Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan penggubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Iklan

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes.

Tambah Noor Nirwandy, hukuman sebatan, denda RM10 juta dan penjara tujuh tahun yang dijatuhkan mahkamah terhadap pemimpin Muda itu membuktikan sistem kehakiman negara telus.

"Sistem perundangan negara perlu dihormati oleh semua pihak termasuk ahli politik dan jangan timbulkan sebarang spekulasi.

"Ia perkara yang perlu dilihat dalam konteks undang-undang dan bukan salah satu bentuk untuk menjatuhkan sesuatu parti.

"Sudah tiba masanya negara ini menuju ke arah kepelbagaian parti yang matang," ujarnya.