KUALA LUMPUR - Syarikat perkhidmatan pembetungan nasional, Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) bersama Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Kerajaan Bandaraya Baguio (CGB) mengambil langkah penting ke arah meningkatkan pengurusan sanitasi dan pembetungan di Baguio, Filipina.
Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi jalinan kerjasama tiga hala, di bawah program ADB Water Organizations Partnership for Resilience Program (WOP4R).
Menurutnya, melalui program WOP4R, IWK telah dipilih untuk menjadi mentor kepada Pejabat Pengurusan Alam Sekitar dan Taman Kota Baguio (CEPMO) untuk tempoh setahun.
"Program kolaborasi ini akan memudahcara pemindahan amalan terbaik, kepakaran dan teknologi melalui pertukaran 'peer-to-peer', di samping memacu inovasi dalam sistem pembetungan.
"Program WOP4R dibiayai Dana Khas ADB Jepun, yang menyokong penuh semua entiti berkaitan air di Asia dan Pasifik untuk menjadi lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan.
"Inisiatif ini bagi memastikan operator air dan pemain industri lebih bersedia dalam menangani cabaran keselamatan air, termasuk peningkatan perubahan iklim serta risiko bencana," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) kerjasama yang diadakan di Ibu Pejabat IWK, di sini pada Khamis.
Perjanjian tersebut dimeterai antara Narendran bersama wakil CGB, Rhenan G Diwas sambil disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dr K Ching Thoo serta Pengerusi IWK, Johnie Ahmad Zawawi.
Kerjasama tiga pihak itu merangkumi komitmen terhadap pembangunan mampan dan kesejahteraan alam sekitar di rantau ini.
Tambah Narendran, menggabungkan sumber, kepakaran dan dedikasi daripada ketiga-tiga pihak, ia menyasarkan untuk mengubah landskap pengurusan pembetungan di Baguio serta menetapkan model untuk diikuti pihak lain.
"Bandaraya Baguio dikenali sebagai 'Ibu Kota Musim Panas Filipina' dan menjadi destinasi pelancongan yang terkenal.
"Di bawah program WOP4R ini, ADB, IWK dan CGB membangunkan pelan kerja bersama yang menggariskan satu siri aktiviti merangkumi perundingan jarak jauh, lawatan perkongsian maklumat, perkongsian ilmu, latihan dan pembangunan serta inisiatif-inisiatif lain bersama CEPMO.
"Bagi IWK, ini merupakan peluang berharga untuk berkongsi kepakaran kami dan memperkayakan lagi kualiti kehidupan komuniti sekeliling,” jelasnya.