KUALA SELANGOR - Rata-rata Wanita UMNO Cawangan di Tanjong Karang mendesak pucuk pimpinan tertinggi parti mempercepatkan tarikh pemilihan semula atau mengekalkan keputusan pemilihan wanita bahagian itu yang digantung sejak lapan bulan lalu.
Ketua Wanita UMNO Cawangan Parit 3 Ban 1 Sungai Burong, Ani Ismail berkata, parti itu sepatutnya membuat satu keputusan segera bagi melancarkan lagi aktiviti dan program yang ingin dilaksanakan di peringkat wanita bahagian.
Menurutnya, ketiadaan jawatankuasa wanita bahagian melumpuhkan pergerakan mereka untuk turun ke akar umbi.
"Wanita UMNO merupakan tulang belakang dalam menentukan kekuatan dan menggerakkan parti dan kami tidak mahu jawatankuasa ini tergantung.
"Kami mahu ada satu keputusan atau ketetapan sama ada kepimpinan UMNO mahu mengadakan pemilihan semula atau mengekalkan kemenangan kepada calon bertanding pada pemilihan yang diadakan pada 11 Mac lalu," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Cawangan Seri Gambut, Fatimah Salwa Moin berkata, wanita bahagian ketika ini tidak dapat bergerak aktif berikutan penggantungan tersebut.
Jelasnya, sayap parti itu penting dan paling hadapan bagi menentukan kekuatan UMNO seterusnya menarik sokongan dan kepercayaan rakyat.
"Bagaimana kita hendak membawa suara rakyat jika wanita bahagian terus digantung kerana inilah sayap yang bekerja kuat semasa menghadapi pilihan raya," ujarnya.
Ketua Wanita UMNO cawangan Ban 4 Seri Gambut, Salbiah Ahmad, 68, pula berkata, pemilihan semula perlu diadakan bagi menyuburkan proses demokrasi di negara ini.
Katanya, UMNO sebagai parti tertua memerintah negara seharusnya memainkan peranan penting bagi meyakinkan rakyat terutama dalam membuat perubahan dan menarik sokongan generasi muda.
Dalam pada itu, Ketua Wanita UMNO Cawangan Seri Gemilang, Rosminin Mohamad Md Jaidi, 61, berpendapat sekiranya dibiarkan ia hanya hanya mengundang perpecahan dan bibit permusuhan dalam kalangan ahli parti.
"Kita berharap pucuk pimpinan membuat keputusan terbaik demi parti bagi mengelakkan fitnah dan perbalahan antara kumpulan bertanding.
"Kalau ini berterusan kita bimbang ia menjadi barah dan menjejaskan sokongan rakyat kepada UMNO," luahnya.
Ketua Wanita UMNO Cawangan Mutiara Seri Tiram Jaya, Zurainah Kasmiran, 61, mencadangkan supaya kepimpinan menerima keputusan yang telah dibuat perwakilan pada pemilihan lalu.
Ujarnya, kepimpinan tertinggi seharusnya menghormati keputusan perwakilan yang telah melaksanakan tanggungjawab bagi menentukan pemimpin yang diingini mereka di peringkat bahagian.
"Bagi saya tidak perlu diadakan pemilihan semula kerana ia melibatkan kos dan masa perwakilan, selain kita bimbang jika ada pertandingan berlaku lebih banyak rasa tidak puas hati dan sebagainya," kata Zurainah.