KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak menunggu lama untuk memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi, di sini pada jam 3 petang, Khamis.
Peguam, Haijan Omar yang mewakili Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu berkata, rayuan dibuat untuk mengetepikan sabitan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan.
Ia susulan Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan pihak Syed Saddiq, 31, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dan bersalah atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).
Haijan berkata, notis itu dibuat kurang lima jam selepas dijatuhi hukuman, mengikut peruntukan Seksyen 307 Kanun Prosedur Jenayah.
"Kami dikehendaki memfailkan petisyen di Mahkamah Rayuan Putrajaya, dalam tempoh 10 hari selepas menerima rekod rayuan,” katanya.
Pada pagi Khamis, mahkamah menjatuhi hukuman itu terhadap bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, namun membenarkannya untuk menangguhkan sabitan, hukuman dan sebatan sementara menunggu rayuan.
Ketika prosiding, hakim hanya membacakan keputusan ringkas tanpa menyertakan alasan penghakiman.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.
Syed Saddiq didakwa atas satu lagi pertuduhan menyalah gunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.
Dia juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, dipercayai hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.
Bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkenaan dihukum penjara selama tiga tahun dan satu sebatan.
Sementara satu pertuduhan menyalah guna harta untuk diri sendiri di bawah Seksyen 403 kanun sama, dia dihukum penjara dua tahun dan satu sebatan.
Mahkamah memerintahkan dua hukuman penjara itu dilaksanakan secara berasingan.
Bagi pertuduhan kes AMLA, dia dikenakan hukuman penjara dua tahun dan denda RM5 juta bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak dan tambahan dua tahun, jika gagal membayar denda tersebut.