Mangsa ribut di Taman Klebang Jaya sambut Deepavali ala kadar

Iklan
Thanival menunjukkan keadaan siling rumah yang mengalami kerosakan dalam kejadian ribut di Taman Klebang Jaya, Chemor.

IPOH - Kira-kira lima keluarga di Taman Klebang Jaya dekat sini, menyambut Deepavali ala kadar selepas kediaman dan persiapan rosak dalam kejadian ribut pada Rabu.

Kejadian sekitar jam 2.30 petang itu mengakibatkan sebahagian bumbung rumah didiami K Munimah, 51, hilang akibat diterbangkan angin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika kejadian dia sedang bersiap untuk membuat kuih bagi meraikan perayaan tersebut.

"Saya sudah siap muruku untuk dibawa ke rumah anak di Ulu Tiram, Johor Bharu dan cadangnya saya hendak buat satu lagi kuih raya hari ini tetapi tidak sempat.

Iklan

"Saya terpaksa tangguhkan hasrat itu walaupun anak sudah tempah tiket kereta api," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Khamis.

Bagi pesara tentera, D Thanival, 66, ribut yang merosakkan 49 rumah lain merupakan kejadian terburuk pernah berlaku sejak 2015.

Iklan

"Kami sekeluarga yang berada di hospital bergegas pulang selepas jiran memaklumkan bumbung rumah diterbangkan angin dan air masuk dalam rumah.

"Banyak perkakas elektrik rosak. Tiada apa yang boleh dilakukan, cuma kami bimbang keadaan siling yang hampir runtuh. Harap bantuan segera tiba agar dapat meringankan beban kami," katanya.

Rumah milik Umairah mengalami kerosakan di bahagian bumbung yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Taman Klebang Jaya, Chemor.

Bagi operator kilang, Umairah kamarul bahrin, 25, berkata, bumbung di bahagian ruang tamu dan bilik tidur keseluruhannya diterbangkan angin sejauh 10 meter hingga mengenai rumah jiran.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan dia mengalami kerugian lebih RM10,000.

"Saya terkejut rumah ini jadi terang kerana tiada satu bumbung tinggal dengan keseluruhan peralatan rumah basah terkena hujan. Sampai sahaja rumah, saya terus mencari dua kucing peliharaan.

"Rumah ini disewakan kepada tiga rakan lain sudah tidak boleh diduduki. Disebabkan struktur bumbung sudah rosak, pembaikan dilakukan sedikit demi sedikit," katanya.

Mohd Hafez (kanan) bersama Ketua Penolong Pegawai Daerah Kinta (Pembangunan), Dr Kamarul Liza Hashim turun padang meninjau kerosakan yang dialami penduduk.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohd Hafez Sabri berkata, pihak agensi terlibat akan menyalurkan bantuan untuk pembaikan bumbung melibatkan rumah yang mengalami kerosakan teruk.

"Dijangkakan kerosakan rumah penduduk melibatkan kos tinggi terutama lapan rumah yang dikenal pasti rosak teruk iaitu kehilangan bumbung rumah yang memerlukan pembaikan segera.

"Perbincangan sedang dijalankan bersama agensi dan kerajaan negeri. Jurutera Daerah Kinta sudah mula turun melihat kerosakan dan kerugian yang dialami penduduk," katanya.