Kerjasama FAMA, Golog perluas pasaran produk pertanian, IKS

Iklan
Foong Hin (empat dari kanan) menyaksikan pemeteraian kerjasama FAMA dan Golog, di sini pada Khamis.

PUTRAJAYA - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bekerjasama dengan syarikat logistik tempatan, Golog GoBuilders Sdn Bhd (Golog) bagi membantu meluaskan lagi pasaran produk pertanian dan usahawan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, inisiatif itu membuka lembaran baharu kepada usahawan kecil dan sederhana (IKS) yang sebelum ini mempunyai kesukaran untuk memasarkan produk dalam skala kecil.

Iklan
Iklan

"Kebanyakan produk agromakanan cepat rosak terutamanya buah-buahan dan sayur-sayuran, jadi ia memberikan risiko kepada usahawan untuk memasarkan hasil mereka ini," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Ujar beliau melalui kerjasama itu, Golog akan menyediakan sistem penghantaran produk melalui aplikasi dalam talian serta menyediakan ruang sejuk bagi produk sejuk beku.

Iklan

"Ini memudahkan usahawan untuk memasarkan barangan secara segar," jelasnya.

Tambah Foong Hin, usaha itu juga dapat menyelesaikan isu orang tengah bagi mengurangkan kos

Iklan

logistik dan golongan sasar mendapat harga yang lebih murah.

Golog akan menyediakan aplikasi pesanan, khidmat logistik serta ruangan sejuk beku bagi usahawan yang ingin memasarkan barangan mereka ke seluruh Semenanjung Malaysia.

Perkhidmatan itu tidak hanya melibatkan jumlah produk yang besar, malah syarikat terbabit turut menerima khidmat penghantaran untuk produk dalam skala yang kecil.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Golog, Ivan Chin berkata, menjelang hujung tahun ini pihaknya akan meluaskan perkhidmatan penghantaran ke Sabah dan kemudiannya ke Sarawak.

"Dengan adanya perkhidmatan ini, usahawan dapat melebarkan lagi pasaran produk mereka dengan penghantaran yang lebih pantas.

"Sebagai contoh, usahawan Sabah boleh terus memasarkan hasil laut terus ke Semenanjung dan petani dari Cameron Highlands boleh menghantar terus sayur dan buah ke Sabah atau Sarawak dalam tempoh masa yang cepat,"ujarnya.