Kerajaan negeri perlu adil, jangan lakukan penguatkuasaan terpilih - Hilman

Iklan
Muhammad Hilman menunjukkan lokasi sampah haram beroperasi di Sungai Salak, Batu 9 Gombak.

GOMBAK - Kerajaan negeri perlu memberikan penjelasan berhubung pencerobohan tanah kerajaan yang didakwa telah berleluasa di Gombak Setia sejak sekian lama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berkata, ia membabitkan lokasi sampah haram dan curi pasir di Sungai Salak, Batu 9 serta operasi kolam ikan di Bukit Madai di sini.s

Iklan
Iklan

Menurutnya, isu telah berlarutan lama dan pihaknya yakin agensi kerajaan maklum dengan isu pencerobohan tersebut.

"Kita sebagai rakyat Selangor mahu tahu pendirian kerajaan negeri terhadap banyak tanah kerajaan pada hari ini diceroboh dan diselewengkan dengan aktiviti haram tanpa kebenaran.

Iklan

"Aktiviti tersebut bukan hanya menyebabkan kerajaan Selangor kerugian hasil bumi tetapi menjejaskan alam sekitar dan mengundang bencana alam hingga menimbulkan kegusaran rakyat," katanya pada sidang akhbar pada Khamis.

Jentera yang ditinggalkan di lokasi korek pasir atas tanah kerajaan didakwa beroperasi secara haram.

Beliau terdahulu menerjah tiga lokasi tanah kerajaan yang didakwa telah diceroboh dengan aktiviti yang dijalankan tanpa kebenaran.

Iklan

Muhammad Hilman berkata, pihaknya yakin banyak lagi kawasan pencerobohan tanah kerajaan turut berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) lain yang tidak diambil tindakan penguatkuasaan.

"Kerajaan negeri dan agensi kerajaan perlu mengambil sikap neutral dan profesional terhadap isu pencerobohan tanah yang ketegasan diperlukan untuk memastikan penguatkuasaan dapat dijalankan dengan baik.

"Isu ini perlu diambil serius dan saya gesa tindakan dijalankan segera supaya tanah kerajaan negeri bebas daripada sebarang aktiviti pencerobohan," katanya.

Pada masa sama katanya, pihaknya mencabar kerajaan negeri turut melakukan tindakan tegas seperti yang dilakukan dalam isu pengosongan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Gombak Setia.

"Kita akan lihat sama ada kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas seperti yang dilakukan terhadap pengosongan PKM Gombak Setia atau sebaliknya.

"Saya tidak faham kenapa kerajaan negeri bersungguh halau saya sedangkan banyak tanah kerajaan yang diceroboh tetapi tiada tindakan sehingga kini," katanya.

Kapal korek didakwa digunakan untuk aktiviti curi pasir di Sungai Semapus Batu 9, Gombak.

Pada Rabu, Muhammad Hilman menegaskan tidak timbul isu PKM Gombak Setia menceroboh tanah kerajaan, apatah lagi ia telah beroperasi sejak 2008.

Muhammad Hilman berkata, pejabat itu diwarisi daripada ADUN kerajaan dan pembangkang yang terlebih dahulu menggunakan pejabat tersebut untuk memberikan khidmat kepada masyarakat.

Justeru katanya, tindakan kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Gombak berterusan mengambil tindakan menghantar notis, tindakan penguatkuasaan termasuk membuat laporan polis amat dikesali.