MACHANG - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Machang mengenal pasti lima lokasi yang sering menjadi 'titik panas' setiap kali musim tengkujuh melanda negeri ini.
Pegawainya, Leftenan (PA) Ahmad Suhaizi Ahmad Suhaimi berkata, lokasi itu melibatkan Jalan Pertak-Temangan, Jalan Pangkal Gong-Mata Ayer, Jalan Limau Hantu-Pangkal Meleret, Jalan Kampung Buncit-Kubur Bakat dan Jalan Wakaf Bata.
"Sehubungan itu, kita mengingatkan penduduk yang terdedah dengan risiko banjir supaya membuat persiapan awal untuk berdepan musibah ini," katanya pada Khamis.
Sebelum itu, beliau merasmikan latihan persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) peringkat APM Machang.
Menurut beliau, persiapan itu bagi memastikan operasi menyelamat berjalan lancar sekiranya banjir melanda kawasan tersebut.
Ujarnya, pada masa sama APM Machang sudah mempersiapkan anggota pasukan itu dengan pelbagai kemahiran untuk berdepan banjir.
Ahmad Suhaizi memberitahu, latihan itu melibatkan langkah-langkah keselamatan di air, pengenalan peralatan di air, pengenalan bot, ujian kecergasan, pengendalian bot dan dokumentasi latihan.
"Tujuan utama latihan ini bagi memastikan anggota APM dapat digerakkan secara teratur dan maksimum apabila berlaku bencana," katanya.
Media tempatan melaporkan MTL 2023/2024 atau musim tengkujuh di negara ini dijangka bermula pada Sabtu ini (11 November) dan berterusan sehingga Mac tahun depan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, dalam tempoh itu, empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku.
Beliau berkata, semasa fasa awal MTL bermula bulan ini hingga Januari depan, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak.