KUALA LUMPUR - Meskipun terdapat dakwaan kononnya ada pihak diugut dan ditawarkan habuan untuk menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun setakat ini tiada laporan polis dibuat berhubung perkara itu, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Beliau berkata sekiranya perkara itu benar-benar berlaku, pihak berkaitan boleh kemukakan bukti dan membuat laporan kepada polis.
"Jadi seperti ditegaskan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri kepada sesiapa yang berpandangan berlainan daripada kenyataan ini, mereka boleh buat laporan, bawa bukti dan kita nilai, tetapi setakat ini tidak ada (laporan polis),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Nordic 2023 malam ini.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan pihak tertentu kononnya wujud unsur-unsur ugutan atau ganjaran habuan tertentu, susulan tindakan empat Ahli Parlimen Bersatu yang terdiri daripada Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) yang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.
Ditanya mengenai tindakan beberapa ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan sokongan terhadap Anwar sebenarnya telah menafikan desas-desus bahawa hayat Kerajaan Perpaduan akan berakhir, Fahmi menyifatkan situasi berlaku ketika ini adalah ‘complete reverse’.
"Jadi kalau nak dikatakan bukanlah Kerajaan Perpaduan yang hadapi pergolakan, tetapi mungkin sesetengah parti dalam pembangkang yang sekarang ini sedang bergolak,” katanya.
Bagaimanapun katanya kerajaan tidak ‘menangguk di air keruh’ sebaliknya akan meneruskan usaha semua usaha dan dasar-dasar yang telah diumumkan termasuk Kerangka Ekonomi Madani.
Mengulas mengenai Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi hari ini, Fahmi berkata, keputusan mahkamah itu adalah diputuskan secara bebas."Keputusan hari ini saya percaya semua akur dan semua hormat keputusan mahkamah, penting saya ingatkan bahawa keputusan ini adalah keputusan institusi kehakiman yang diputuskan secara bebas... tidak ada campur tangan dari mana-mana pihak, apa lagi campur tangan daripada pihak eksekutif.
"Saya secara peribadi simpati dengan beliau, saya kenal beliau malah sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, parti Keadilan telah mengarahkan supaya saya menjadi antara pemimpin yang menjadi penghubung dengan Muda, jadi banyak jugalah yang kita bincangkan sebelum PRU15,” tambahnya.
Pagi tadi, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Syed Saddiq, 30, bersalah dan dihukum penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Armada. - Bernama.