ISRAEL telah bersetuju untuk memulakan penghentian serangan selama empat jam setiap hari di utara Gaza bagi membolehkan rakyat Palestin melarikan diri, umum White House, dalam apa yang disifatkan sebagai langkah ke arah yang betul.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara, John Kirby berkata, gencatan kemanusiaan pertama akan diumumkan pada Khamis, memetik laporan Al Jazeera.
Beliau menambah, Israel komited dalam mengumumkan penghentian serangan itu sekurang-kurangnya tiga jam sebelum ia berlaku.
"Kami diberitahu oleh pihak Israel tidak akan ada operasi ketenteraan ketika penghentian serangan itu dan proses berkenaan akan bermula hari ini (Khamis)," katanya.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memberitahu pemberita beliau telah meminta Israel 'penghentian lebih dari tiga hari' semasa rundingan diadakan bagi membebaskan tebusan yang ditahan pejuang Hamas.
Namun Biden menolak kemungkinan akan berlaku gencatan senjata sepenuhnya.
Kirby menjelaskan tidak akan ada gencatan senjata antara Israel dan Hamas sebelum menambah tindakan itu akan"mengesahkan apa yang mereka lakukan" pada 7 Oktober,"dan kami tidak akan membenarkan ia berlaku ketika ini".
Biden telah meminta Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk melaksanakan penghentian harian dalam perbualan telefon pada Isnin.
Biden turut ditanya jika beliau kecewa dengan Netanyahu dalam menangguhkan gencatan kemanusiaan, beliau berkata,"Ia berlaku lebih lewat daripada apa yang saya harapkan."
Sementara itu Israel berkata, ia tidak bersetuju kepada gencatan senjata, namun akan membenarkan penghentian sementara bagi membolehkan bantuan kemanusiaan masuk ke kawasan tertentu.
"Tiada gencatan senjata, saya ulangi tiada gencatan senjata.
"Apa yang kami lakukan, penghentian sementara selama 4 jam, adalah untuk bantuan kemanusiaan," kata jurucakap tentera Israel, Richard Hecht.
Penasihat politik kepada ketua Hamas Ismail Haniyeh, Taher al-Nono berkata pada Khamis, rundingan masih diteruskan namun tiada kata putus telah dipersetujui dengan Israel setakat ini. - Awani