MANJUNG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya menumpaskan satu sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi melibatkan bot nelayan dalam Op Tiris di Pulau Pangkor dekat sini pada Khamis.
Operasi sekitar jam 12.30 tengah hari di Jeti Jalan Besar Pangkor itu turut menahan dua lelaki tempatan dan merampas 4,600 liter diesel dianggarkan berjumlah RM381,500.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, ketika serbuan, dua lelaki berusia 27 dan 71 tahun itu dikesan sedang berurus niaga melakukan pindahan diesel dari dua bot.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua lelaki itu tidak dapat mengemukakan sebarang dokumen melibatkan lesen atau permit pengendalian barang kawalan minyak diesel apabila diminta.
"Mereka telah ditahan untuk siasatan lanjut dilakukan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
"Kejayaan operasi ini adalah hasil risikan yang dibuat selama dua minggu ke atas satu maklumat berkaitan adanya aktiviti pemindahan minyak diesel dari bot ke bot yang melibatkan penjualan dan pembelian dalam kuantiti banyak," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Beliau berkata, sitaan telah dilakukan ke atas kedua-dua bot dan cecair yang disyaki minyak diesel.
Katanya, KPDN Perak tidak akan berkompromi dan terus komited menggerakkan tindakan penguatkuasaan khususnya melibatkan penyelewengan barang kawalan bersubsidi demi kepentingan awam.
"Masyarakat disarankan untuk terus menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat-maklumat agar dapat membantu membanteras aktiviti ini daripada terus berlaku dan mengelak berlakunya ketirisan subsidi kerajaan," katanya.
Operasi berkenaan melibatkan 10 anggota dari KPDN Manjung dibantu Polis Marin dari Bot Ronda PAC24, Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Kampung Acheh, Sitiawan.