Tol percuma dua hari sempena Deepavali

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju memberikan tol percuma kepada pengguna lebuh raya dua hari bermula Sabtu hingga Ahad, sempena sambutan perayaan Deepavali.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pengecualian tol akan diberikan kepada semua jenis kelas kenderaan di semua lebuh raya kecuali Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.

Iklan
Iklan

"Inisiatif ini dilaksanakan bagi meraikan kesemua rakyat Malaysia terutamanya masyarakat kaum India beragama Hindu yang menyambut perayaan Deepavali.

"Ia juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Menurutnya, pemilihan tarikh itu juga bertujuan bagi mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar serta dapat mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan seperti pengurusan kawalan trafik, sumber air tambahan, penyediaan tandas serta keperluan logistik lain yang melibatkan pihak ketiga di kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat & Rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya.

"Dengan pelaksanaan tol percuma ini, diharapkan agar pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini selain merancang perjalanan dengan sebaiknya," ujar beliau.

Iklan

Dianggarkan sebanyak 11.8 juta kenderaan berada di lebuh raya dalam tempoh dua hari bagi tarikh tersebut.

Dalam pada itu, Alexander menasihati pengguna lebuh raya agar mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan.

"Aspek keselamatan serta pemanduan selamat perlulah dipatuhi supaya semua pengguna lebuh raya dapat tiba ke destinasi dengan selamat dan sambutan perayaan Deepavali ini akan menjadi lebih bermakna bersama keluarga tercinta," katanya.