Transaksi zakat tanpa tunai sebagai inovasi digital oleh zakat

Iklan
ZPP memenangi Pertandingan Kempen Tanpa Tunai bagi Jabatan dan Agensi kerajaan Negeri Pulau Pinang anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi tahun 2022.

ZPP memenangi Pertandingan Kempen Tanpa Tunai bagi Jabatan dan Agensi kerajaan Negeri Pulau Pinang anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi tahun 2022.

PULAU PINANG - Indeks Laporan The Global Islamic Fintech 2022 telah menyenaraikan Malaysia, Arab Saudi, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu, dan United Kingdom sebagai lima ekosistem yang kondusif untuk teknologi kewangan Islam (Fintech Islam) di dunia. Ia adalah indeks komposit yang terdiri daripada 19 petunjuk utama yang merangkumi lima kategori iaitu pasaran dan ekosistem Fintech Islam, bakat, regulasi, infrastruktur dan modal.

Iklan
Iklan

Menurut Bank Dunia pada tahun 2020, inovasi adalah tumpuan utama bagi Fintech Islam. Inovasi tersebut menjadi indikator utama yang memberikan peluang luas kepada transaksi zakat (sumbangan wajib) dan sedekah (sumbangan sukarela) secara tanpa tunai sehingga mengumpulkan dana dari dolar Amerika Syarikat (AS)$200 bilion hingga AS$1 trilion secara global untuk membasmi kemiskinan global.

Kajian Sikap Pembayaran Pengguna (CPA) Visa 2022 mendapati lebih 90 peratus rakyat Malaysia telah biasa dengan sistem pembayaran tanpa sentuh, dengan hampir 70 peratus daripada mereka menggunakannya, peningkatan 56 peratus yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Iklan

Hal ini selaras dengan dapatan Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan dari segi permintaan Bank Negara Malaysia mendapati rakyat di negara ini menerima pakai pendigitalan dengan kadar yang pantas, terutamanya bagi pembelian di premis perniagaan, pindahan wang dan pembelian secara dalam talian.

Menurut Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dalam laporan tahun 2023 baru-baru ini, Pulau Pinang merupakan negeri paling tinggi menggunakan kaedah tanpa tunai dalam transaksi pembayaran digital sektor awam. Kadar penembusan pembayaran digital sektor awam ini mencecah 90 peratus susulan komitmen kerajaan negeri Pulau Pinang menjadi negeri pintar bertaraf antarabangsa selaras dengan Visi Penang 2030.

Iklan

Agenda pendigitalan

Sejak tahun 2020, Zakat Pulau Pinang (ZPP) telah menyambut hasrat Visi Penang 2030 dengan menetapkan hala tuju yang kukuh terhadap agenda pendigitalan pengurusan zakat di Pulau Pinang iaitu mengungguli usaha mewujudkan keseimbangan sosioekonomi ummah melalui sistem pengurusan zakat yang profesional dan berteknologi.

Justeru, ZPP telah memacu hala tuju digitalisasi pengurusan zakat pada tahun 2020 melalui Pelan Strategik Zakat Pulau Pinang 2020-2022.

Melalui Pelan Strategik Zakat Pulau Pinang 2020-2022 ini, tujuh inisiatif strategik telah dibangunkan bagi menggerakkan inovasi dalam operasi kutipan dan agihan zakat. Keberhasilan inisiatif strategik digitalisasi pengurusan ZPP telah dicapai dengan pembangunan portal zakatpenang2u.com dan aplikasi dalam talian iaitu MaiZAKAT yang memacu kutipan zakat yang optimum dan permohonan agihan zakat yang lebih efisien.

Di samping itu, inisiatif menaiktaraf sistem maklumat zakat (SMZ) yang merujuk kepada operasi sokongan (back-office operation) untuk menjadi pengupaya bagi membantu operasi ZPP dalam pengurusan sumber manusia, kewangan, khidmat pengurusan dan sebagainya bagi melicinkan tadbir urus zakat yang berkesan.

Komitmen ZPP terhadap inisiatif tanpa tunai yang digerak oleh kerajaan negeri Pulau Pinang berdasarkan Visi Penang 2030 telah diterima dengan kepercayaan menjadi ahli Jawatankuasa Inisiatif Tanpa Tunai Bagi Agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diurusetiakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.

Keanggotaannya melibatkan 23 jabatan dan agensi kerajaan negeri yang perlu memastikan penggunaan e-pembayaran sebagai salah satu platform terimaan hasil. Setiap bulan Zakat Pulau Pinang perlu menghantarkan laporan prestasi transaksi pembayaran zakat tanpa tunai kepada jawatankuasa tersebut untuk direkodkan dalam penilaian petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.

KPI bagi kutipan hasil setiap jabatan dan agensi yang terlibat adalah perlu mencapai 80 peratus kutipan hasil melalui transaksi tanpa tunai dalam tempoh 5 tahun (2020-2025).

Pada tahun 2021, inovasi pembayaran zakat tanpa tunai ini dipertingkatkan dengan mengadakan kerjasama dengan syarikat penyedia gerbang pembayaran seperti Shopee, Boost, Gopayz dan sebagainya. Namun, terdapat isu kepatuhan syariah yang mana mana masyarakat Muslim tertanya-tanya tentang solusi syariah terhadap isu-isu teknologi kewangan (fintech) kerana aplikasi canggih sebegini bolehkah digunakan dalam pembayaran zakat.

Fintech Islam

ZPP mengambil perhatian utama dalam penyelesaian isu kepatuhan syariah melibatkan fintech dengan mengadakan siri perbincangan bersama Bank Negara Malaysia Pulau Pinang dan ahli Penasihat Syariah Bank Negara bagi mendapatkan input.

Maklumat-maklumat yang diperoleh dibentangkan dalam kertas permohonan fatwa mengenai Fintech Islam kepada Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang.

Kefatwaan yang jelas bagi pembayaran zakat tanpa tunai yang patuh syariah memudahkan ZPP merancakkan inovasi digitalisasi kutipan zakat yang efektif.

Hal ini disebabkan Fintech Islam adalah sektor yang sedang berkembang dengan memberi tumpuan kepada penyediaan perkhidmatan kewangan beretika dan adil kepada pelanggannya berdasarkan prinsip-prinsip kewangan Islam.

Golongan sasarannya adalah Muzakki (pembayar zakat) dan termasuk juga Generasi Z dan Millennium, yang tertarik kepada akses yang bertanggungjawab dan adil terhadap keperluan kewangan mereka termasuk dalam simpanan, pelaburan, pendermaan dan pembayaran zakat. Penyelesaian Fintech Islam melalui dompet yang mudah (e-wallet) dan perkhidmatan aplikasi yang boleh diakses melalui telefon mudah alih sedang berkembang sebagai penyelesaian yang mudah dalam masyarakat celik digital di Pulau Pinang. Hasilnya Zakat Pulau Pinang berjaya meningkatkan jumlah kutipan zakat melalui transaksi tanpa tunai setiap tahun.

Pengiktirafan yang diterima oleh ZPP dalam digitalisasi pengurusan zakat dan inovasi transaksi pembayaran zakat secara tanpa tunai apabila berjaya mendapat tempat ketiga kategori A (melebihi 30,000 transaksi) bagi Pertandingan Kempen Tanpa Tunai bagi Jabatan dan Agensi kerajaan Negeri Pulau Pinang anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi tahun 2022. Hadiah bernilai RM30,000 telah disampaikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang pada 26 Mei 2023.

Hal ini telah membuktikan bahawa iltizam ZPP dalam memacu rangkuman Fintech Islam dalam sistem kewangan sosial Islam secara kukuh seiring dengan hala tuju Pelan Tindakan Agenda Negeri Pintar Pulau Pinang 2030.

Iltizam ini akan diteruskan dalam rangka kerja digitalisasi pengurusan zakat yang komprehensif melalui Pelan Strategik Zakat Pulau Pinang 2023-2027. Strateginya adalah memantapkan hala tuju pembangunan teknologi maklumat dengan tiga inisiatif strategik iaitu pertama, mewujudkan pusat data; kedua, membangunkan Pelan Induk Teknologi Maklumat Zakat Pulau Pinang; dan ketiga, memperkenalkan inovasi dalam pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi bagi operasi kutipan dan agihan zakat.

Inovasi digital transaksi tanpa tunai dilihat sebagai inisiatif yang berpotensi meningkatkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap kompetensi, kredibiliti dan ketelusan institusi zakat khusus di Zakat Pulau Pinang. Pembangunan pelbagai platform digital perlu diterokai seperti blockchain dan big data menawarkan peluang dan ruang yang luas buat Zakat Pulau Pinang bagi meningkatkan kompetensi dan kredibiliti ke tahap yang lebih baik selaras dengan inisiatif Ekonomi Digital Islam dan Ekonomi MADANI.

Dr. Wafdi Auni Mohamed ialah Pegawai Khas kepada Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang