SHAH ALAM - Seorang rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron, 37, yang berada di Gaza berdepan kesukaran apabila kehabisan bekalan makanan untuk disumbangkan kepada rakyat tempatan.
Nurul Ain berkata, tiada bekalan makanan ketika ini, malah di kedai-kedai juga sudah kehabisan stok.
"Barang-barang dalam tin semua sudah licin.
"Untuk masa sekarang, saya dan suami, Mohamed Adan Shaat, 33, mengambil keputusan untuk beri bantuan dalam bentuk tunai kepada yang memerlukan.
"Kemungkinan mereka boleh membeli makanan lain atau yang lebih baik.
"Makanan sudah siap dimasak seperti nasi dengan ayam.
"Kalau ada yang boleh masak itu selalunya mereka akan guna duit bantuan untuk beli beras,” katanya menerusi video yang dimuat naik di TikTok pada Khamis.
Tambah Nurul Ain, pemborong di kawasan itu akan memaklumkan lebih awal jika bekalan makanan sudah ada seperti biasa.
"Insya-ALLAH, jika stok makanan ada, peniaga akan telefon.
"Jadi, kami akan teruskan untuk mengagihkan makanan semula,” ujarnya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Nurul Ain dan Mohamed Adan yang tinggal di Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah pulang ke kampung halaman di Palestin pada 1 Oktober lalu buat kali pertama selepas hampir enam tahun mereka mendirikan rumah tangga sebelum terkandas di negara berkenaan akibat serangan balas zionis Israel.
Wanita itu sering turun padang mengagihkan bantuan dari segi makanan, selimut, ubat-ubatan serta mainan untuk kanak-kanak hasil sumbangan rakyat Malaysia.
Menurut Nurul Ain, situasi terkini di Gaza semakin teruk selepas negara itu diserang tentera Israel sejak 7 Oktober lalu.
"Susah nak gambarkan dengan kata-kata.
"Keadaan di sini memang seteruk-teruknya,” tambahnya.