BALIK PULAU - Seorang buruh binaan warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM10,000 kerana menggunakan kad pengenalan pemastautin tetap (MyPR) palsu sejak tahun 2000.
Suardi, 49, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah kilang di Bayan Lepas antara jam 8.30 pagi hingga 2 petang pada Rabu lalu.
Oleh yang demikian, tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah peraturan yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara, Mohd Samsul Ariffin Ahmad Zawawi.
Mohd Samsul meminta mahkamah menjatuhkan hukuman maksima berikutan kesalahan yang dilakukan tertuduh boleh menggugat kepentingan awam serta keselamatan negara.
Hukuman itu juga sebagai pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulanginya pada masa akan datang.
Dalam rayuannya, Suardi memohon hukuman yang minima kerana perlu menyara empat anak dan seorang isteri yang berada di Indonesia, selain mempunyai pendapatan RM2,000 sebulan.
Sementara itu, di luar mahkamah, Mohd Samsul memberitahu, tertuduh berada di Malaysia sejak 1996 yang mana, tertuduh mempunyai pasport yang sah.
"Pasport tertuduh tamat tempoh pada Oktober tahun depan. Bagaimanapun, tertuduh telah memperoleh pasport Indonesia yang akan tamat pada 2033 selepas dia menjalani program Rekalibrasi Tenaga Kerja Jabatan Imigresen.
"Kita percaya, tertuduh telah membeli kad MyPR palsu ini daripada sindiket di Kuala Lumpur bagi membolehkan dia mendapat kad perakuan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) untuk mendapatkan kerja sebagai pekerja kontrak.
"Tertuduh menggunakan kad MyPR palsu ini sejak 2000," katanya.