Kejutan Soon Huat-Shevon di Korea

Iklan
Soon Huat (kanan) dan Shevon menumpaskan pasukan tuan rumah dalam saingan Korea Masters pada Jumaat. - Foto Agensi

TERSISIH daripada program Road To Gold (RTG) bulan lalu bukan alasan buat beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai untuk mengalah apabila melakar kejutan dalam saingan Korea Masters.

Pasangan nombor dua negara itu menewaskan pasangan tuan rumah yang menghuni ranking ketujuh dunia, Kim Won-ho dan Jeong Na-eun dalam saingan suku akhir pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Dalam aksi tersebut, Soon Huat-Shevon yang berada di ranking ke-16 dunia 'lambat panas' apabila kalah set pertama 16-21 dalam kejohanan bertaraf Super 300 itu.

Bagaimanapun, pilihan kelima kejohanan itu berjaya bangkit memenangi set kedua 22-20 sebelum mengesahkan kemenangan pada set penentuan 22-20 dalam aksi yang berlarutan selama sejam itu.

Iklan

Kejayaan tersebut juga membolehkan Soon Huat-Shevon merekodkan kemenangan 1-1 dengan pasangan Korea Selatan itu selepas kalah aksi pertama pada Terbuka Malaysia tahun lepas.

Menanti mereka dalam aksi separuh akhir pada Sabtu sama ada rakan senegara, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing atau Jiang Zhen Bang dan Wei Ya Xin dari China untuk merebut slot ke pentas akhir.

Iklan