Hukuman terhadap Syed Saddiq isyarat ahli politik 'tak kebal'

Iklan
Laporan muka depan akhbar Sinar Harian pada Khamis. (Gambar kecil: Wan Azliana)

SHAH ALAM - Hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merupakan isyarat kepada ahli politik bahawa tiada siapa boleh terlepas atau mengatasi undang-undang.

Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (Aswa), Wan Azliana Wan Adnan berkata, ia juga menjadi pengajaran kepada setiap individu tanpa mengira pangkat bahawa setiap jenayah yang dilakukan akan dibicarakan dan menerima hukuman.

Iklan
Iklan

"Ini turut dilihat sebagai satu hukuman detteren (pencegahan) kepada masyarakat supaya tidak melakukan perbuatan yang sama.

"Kita menghormati keputusan hakim yang merasai hukuman itu berbentuk pengajaran kepada pelaku salah dan orang ramai," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis mendapati bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Iklan

Menurut beliau yang juga peguam, kes penyelewengan dan rasuah kini makin berleluasa maka tindakan tersebut sebagai isyarat bahawa perbuatan itu serius dan boleh menggugat keharmonian negara.

"Memang terkejut sebab beliau merupakan ahli politik yang pertama dikenakan hukuman sebatan, yang termaktub dalam Akta Kanun Keseksaan 403 iaitu penyalahgunaan harta dan curang serta Akta Kanun Keseksaan 406 bagi pecah amanah jenayah.

"Bagaimanapun, Syed Saddiq boleh memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan dan Persekutuan," ujarnya.