JARINGAN pemain West Ham United, Lucas Paqueta membolehkan The Hammers melebarkan rentak kemenangan Liga Europa selepas menang ke atas Olympiakos Piraeus, 1-0 pada Jumaat.
Gol minit ke-73 separuh masa kedua diledakkan pemain kelahiran Brazil berusia 26 tahun di Stadium London tersebut juga mengekalkan kedudukan teratas Hammers dalam Kumpulan A.
Sebagai rekod, West Ham kendalian David Moyes sebelum ini tewas 1-2 kepada kelab gergasi Greece dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Karaiskakis pada 27 Oktober lalu
Tiga mata diraih di London itu meletakkan Hammers menerajui kumpulan - sembilan mata sama dengan Freiburg di tempat kedua, yang menumpaskan pasukan tercorot Backa Topola 5-0.
Sementara itu, Olympiakos pula di tempat ketiga dengan empat mata diikuti Backa Topola (satu mata) berbaki dua perlawanan.
Olympiakos hampir menyamakan kedudukan, namun tandukan Mady Camara sekadar mengenai tiang sekali gus mengesahkan kemenangan ketiga West Ham dalam saingan tahap dua kejuaraan kelab Eropah tersebut.
"Sejujurnya kami kecewa apabila rekod tanpa kalah menentang Olympiakos lebur dalam perlawanan terakhir, jadi untuk kembali ke landasan kemenangan sesuatu yang adalah hebat.
"Ia juga satu kejuaraan yang hebat untuk kelab ini dan semoga mereka berterusan. Kami melakukan tugas malam ini dan mendapat keputusan tetapi kini kami perlu mencuba dan memperbaiki prestasi liga kami,” kata Moyes, yang pasukannya belum menang dalam Liga Perdana Inggeris sejak penghujung September.