MELAKA - Padah menjual senjata tiruan termasuk pistol dan rifle, seorang pemuda didenda RM1,500 selepas didapati bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Hamdihafizi Ab Karim, 33, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan pertuduhan, dia dituduh memiliki 41 pucuk senjata tiruan seperti pistol, rifle dan shotgun, turut terdapat busur dan ball bearing tanpa kebenaran yang sah.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Jebat Street Klebang, di sini, kira-kira jam 10 malam pada 14 Ogos lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah denda yang rendah dengan alasan dia tidak tahu memiliki senjata tiruan adalah salah selain memerlukan lesen yang khusus.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran dan tertuduh tidak mengulangi kesalahan itu lagi.
Dalam pendakwaan, beliau turut memohon kebenaran mahkamah melupuskan kesemua senjata tiruan berkenaan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,500 atau penjara enam bulan jika gagal bayar denda serta membenarkan permohonan yang diminta pihak pendakwaan.