SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperoleh pengiktirafan tertinggi apabila memenangi anugerah emas sempena International Convention on Quality Control Circles 2023 di Beijing, China.
MBPJ dalam kenyataannya memaklumkan, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu diwakili kumpulan Iron Squadron daripada Jabatan Kejuruteraan MBPJ memperkenalkan inovasi Flush Mount Cap (FMC) Grating.
Iklan
Iklan
Menurut MBPJ, projek inovasi dihasilkan itu berupaya menyelesaikan masalah 'grating' dan 'manhole' mendap selepas kerja-kerja korekan dan penyelenggaraan jalan.
"Oleh kerana terdapat banyak aduan grating berulang dan kerja-kerja penyelenggaraan mengambil masa lama, maka MBPJ mencipta inovasi ini bagi menukarkan grating lama dengan tujuan penciptaan grating baharu bagi menambah baik grating sedia ada," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
MBPJ memaklumkan, inisiatif itu juga merupakan salah satu usaha berterusan PBT itu untuk mengembangkan potensi inovasi dalam perkhidmatan selari dengan matlamat utama MBPJ ke arah Petaling Jaya Smart, Sustainable & Resilient (PJSSR) 2030.
Selain Malaysia, konvensyen itu juga disertai 13 negara iaitu China, India, Indonesia, Korea, Singapura, Thailand dan Hong Kong.
Turut menyertai, Taiwan, Zambia, Mauritius, Sri Lanka dan Bangladesh yang berlangsung pada 30 Oktober hingga 2 November lalu.