Semasa membentangkan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah menyatakan bahawa bayaran pinjaman PTPTN akan dilaksanakan melalui potongan gaji berjadual berdasarkan kadar antara dua hingga 15%.
Selain itu, kerajaan turut mencadangkan supaya graduan akan mula membayar pinjaman apabila mendapat gaji melebihi RM1,000 sebulan. Perkara ini telah menimbulkan kemarahan peminjam kerana mendakwa kerajaan PH gagal untuk menunaikan janji dalam manifesto yang dibuat semasa PRU14. Disebabkan desakan dan bantahan oleh kesatuan mahasiswa dan peminjam, kerajaan telah mengambil keputusan untuk mengubah perancangan awal dengan menetapkan bahawa bayaran akan dikenakan kepada individu yang mempunyai pendapatan RM2,000 sebulan.
Mencari kaedah penyelesaian terbaik berkaitan PTPTN merupakan cabaran besar dan berat kepada kerajaan ketika ini. Perkara utama boleh dilakukan oleh PTPTN ialah mengambil pandangan daripada pihak berkepentingan mengenai kaedah atau kadar bayaran bersesuaian.
PTPTN tidak boleh lagi terlalu bergantung kepada kajian yang dilakukan oleh ahli akademik sahaja. Hasil kajian oleh ahli akademik dilihat gagal untuk memberikan penyelesaian kepada masalah sebenar yang dihadapi peminjam. Kajian mereka berdasarkan kepada satu perspektif sahaja tanpa mengambil kira pandangan dan kesusahan peminjam untuk membuat bayaran.
Ahli akademik kebanyakannya mendapat biasiswa daripada kerajaan dan sudah tentu tidak memahami mengenai bebanan yang perlu dihadapi peminjam untuk membuat bayaran semula. Adalah kurang adil sesuatu kajian yang dilakukan tanpa mengambil kira pandangan golongan peminjam itu sendiri.
Kajian dilakukan turut melibatkan ahli akademik yang sudah berumur dan mempunyai jawatan dengan gaji tinggi. Mereka tentu sekali mampu untuk menanggung yuran pembelajaran anak-anak yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi. Mustahil kepada ahli akademik untuk memahami mengenai kesukaran dan masalah peminjam yang bergaji minimum.
Penulis telah menghadiri satu forum yang membincangkan mengenai PTPTN baru-baru ini. Forum tersebut hanya menjemput ahli akademik sebagai panel selain wakil PTPTN bagi membincangkan mengenai masalah dan isu yang dihadapi oleh PTPTN. Situasi ini tentu sekali amat pelik kerana seharusnya penganjur perlu dan wajib menjemput wakil graduan untuk mengemukakan pandangan mengenai isu ini.
Keadaan ini telah mewujudkan satu aliran (one way traffic) pemikiran dan pandangan tanpa mendengar idea oleh graduan sendiri.
Graduan yang perlu dan dipaksa membayar pinjaman, graduan yang dikecam kerana gagal membayar pinjaman dan graduan turut sering dituduh sebagai individu yang tidak bertanggungjawab. Namun apabila forum diadakan, tiada wakil graduan dijemput untuk berkongsi pentas bagi melontarkan pandangan dan idea.
PTPTN dicadangkan supaya lebih memberikan tumpuan bagi mengumpul maklumat yang tepat daripada peminjam berbanding pandangan ahli akademik. Kebanyakan ahli akademik masih lagi berlindung di sebalik pintu pagar universiti dan enggan berdepan dengan realiti sebenar dihadapi graduan.
Ahli akademik perlu sedar bahawa mereka mendapat biasiswa daripada kerajaan yang merupakan hasil kutipan daripada pembayar cukai. Oleh itu, seharusnya pandangan dan idea mereka perlu berdasarkan kepada keperluan masyarakat, bukan kepentingan sendiri.
PTPTN mempunyai cawangan operasi di setiap negeri. Sehubungan itu, PTPTN perlu mendapatkan maklumat mengenai kadar bayaran yang bersesuaian berdasarkan tempat tinggal dan kawasan bekerja peminjam. Sebagai contoh, peminjam yang bekerja dan tinggal di bandar utama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bharu tentu sekali mempunyai bebanan kewangan yang lebih tinggi berbanding dengan individu yang tinggal di luar bandar.
Oleh itu, kadar bayaran yang ditetapkan tentu sekali berbeza kerana berdasarkan kepada beban kewangan yang dihadapi oleh setiap individu.
Masyarakat akan terus memberikan peringatan kepada PTPTN agar terus berusaha mengambil langkah dan tindakan yang bijak bagi menyelesaikan kemelut ini.
‘Idea Orang Muda’ ‘Bersuara Secara Berhemah”
*Penulis pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah