SHAH ALAM - Pusat beli belah Megah Rise Mall melancarkan 'REplace', satu inisiatif program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang mencerminkan komitmen terhadap kelestarian alam sekitar kepada pengunjung dalam sambutan Deepavali hujung minggu ini.
Ketua kumpulan kelestarian PPB Group Berhad, Audrey Lee berkata, pihaknya dan divisyen hartanah, PPB Properties menggabungkan empat inisiatif kelestarian seperti sudut perkongsian buku, ladang bandar pintar, kawasan kitar semula serta stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV).
Menurutnya, projek 'REplace' minggu kedua kali ini menampilkan 12 ceramah dan bengkel pendidikan di atrium utama tingkat bawah bermula 11 hingga 13 November di samping bakal melancarkannya di semua pusat beli belah di bawah pengurusan PPB Properties.
"Melalui projek ini, kami mengajak komuniti untuk menyertai perjalanan penting ini ke arah masa depan yang mampan. Ketika lampu perayaan Deepavali mencerahkan suasana, Megah Rise Mall turut menjemput semua orang untuk satu siri acara menarik.
"Tambahkan sentuhan tradisi pada perayaan anda dengan lukisan tangan Diwali Henna pada 12 November atau sertai komuniti untuk Walkathon Diwali yang menyeronokkan pada 13 November,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, pelaksanaan projek itu telah dilaksanakan pada minggu pertama iaitu 4 dan 5 November dengan memfokuskan lapan ceramah serta bengkel pendidikan menarik bertemakan ‘Recyling Done Right’.
Tambahnya, ia merangkumi topik seperti pengurusan sisa yang bertanggungjawab, tenaga boleh diperbaharui dan amalan hidup mampan.
Menurutnya lagi, sesi berkenaan diketuai pakar dari organisasi seperti Sunway XFarms, Biji-Biji Initiative, Mereka, Bungkus, Kloth Cares Malaysia, Zero Waste Malaysia, dan Impactlution untuk memberikan inspirasi kepada penduduk Taman Megah mengenai prinsip kelestarian alam sekitar.
"Pengalaman pembelajaran langsung ini direka untuk peserta dari semua peringkat umur, mengajar mereka untuk mengintegrasikan tabiat mesra alam ke dalam kehidupan seharian.
"Acara ini diterima dengan baik, lebih daripada 120 peserta mengambil bahagian,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut berkongsi penambahan acara seperti ‘Hello Bangkok Thai Festival’ bermula 10 hingga 19 November dan ‘Asean Food Fair’ dari 30 November hingga 3 Disember yang menyajikan pelbagai makanan serta kraftangan.
"Akhir sekali, sertai kami di Megah Rise Mall pada Disember ini untuk pasar perayaan dan bengkel. Mari raikan kebersamaan serta kegembiraan melalui acara ini,” katanya.