KOTA KINABALU - Menjijikkan. Itu yang dapat digambarkan apabila salah sebuah tangki menyimpan bekalan air untuk penuntut di sebuah universiti di sini tidak dapat digunakan selepas didapati ribuan ulat membiak di dalamnya.
Keadaan itu dipaparkan menerusi satu video berdurasi 24 saat yang ditularkan di dalam TikTok dan mendapat 448 komen, 5,064 tanda suka serta dikongsikan oleh 2,256 pengguna aplikasi itu sejak dimuat naik 15 jam lalu.
Iklan
Iklan
Pemilik akaun TikTok itu berkata, dia terpaksa menggunakan kuasa tular berhubung isu air yang melanda universiti tersebut.
Dia turut mendakwa bahawa peruntukan telah diberikan namun masalah air tetap sama dialami mereka.
"Kami mengalami masalah air selama beberapa hari! Air tong yang disediakan pula berulat sebab bangkai monyet!
"Yang masalahnya, kami sudah menggunakan air tong tersebut sudah beberapa lama sebelum menyedari perkara sebenar! Kalau terjadi perkara tak diingini bagaimana? Baru bab air, belum selebihnya lagi," dakwanya.
Usaha Sinar Harian mendapatkan penjelasan daripada pemilik akaun tersebut gagal apabila individu berkenaan enggan memberi sebarang komen kerana mendakwa isu itu telah selesai.