Tak perlu pertikai pemilihan pemain - Pan-gon

Iklan
Pan-gon

PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengharapkan peminat supaya tidak mempertikaikan pemilihan pemain yang dipanggil untuk kem latihan pusat bagi mengharungi Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula Jumaat.

Menurutnya, setiap pemilihan pemain dilakukan dengan mengambil kira banyak perkara termasuk perancangan taktikal pasukan.

Iklan
Iklan

Malah, beliau juga sedar ada peminat yang mempertikaikan senarai pemilihan pemain yang dilakukannya dan menyifatkan mereka mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan.

"Setiap kem kebangsaan, kami mahu memilih yang terbaik. Saya tahu penyokong mempunyai pandangan berbeza mengenai pemilihan pemain, tetapi kami harap semua orang faham kami hanya boleh pilih 23 pemain dan dua pemain untuk setiap posisi.

Iklan

"Saya tahu ramai pemain bagus di luar sana. Setiap pemain boleh berada dalam senarai tetapi kami perlu membuat keputusan sukar sama ada untuk menempatkan pemain dalam senarai utama atau senarai bersedia.

Sebelum ini, Sukan Sinar melaporkan penyokong dan pemerhati bola sepak negara mempersoalkan pemilihan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohamadou Sumareh mengikuti kem latihan pusat Harimau Malaya.

Iklan

Ia kerana Sumareh tidak mendapat minit permainan bersama JDT selain kali terakhir pemain naturalisasi pertama Harimau Malaya itu berada dalam pasukan kebangsaan adalah pada September tahun lalu ketika aksi Piala Raja Thai di Chiang Mai.

Harimau Malaya akan mengharungi aksi pertama Kumpulan D menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 16 November sebelum berlepas ke Taipei City bagi perlawanan kedua bertemu Taiwan pada 21 November.

Beliau berkata, setiap pemain mempunyai kelebihan tersendiri selain enggan mengulas keputusannya memilih Sumareh dalam senarai utama pasukan.

"Setiap pemain ada sasaran yang kami tetapkan dan harapkan. Kita perlu menghormati setiap pemain kerana mereka ada kelebihan tersendiri," katanya.