BANK Islam Malaysia Bhd menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 3.2 peratus pada suku ketiga 2023 (S3 TK2023) di tengah-tengah permintaan dalam negeri yang berdaya tahan walaupun berdepan cabaran luar.
Bank itu berkata, penggunaan swasta bertindak sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi berikutan peningkatan kecil 0.6 peratus dalam produktiviti buruh dari tahun ke tahun (y-o-y) pada suku tersebut.
"Ini sejajar dengan kadar penyertaan tenaga buruh, yang kekal tinggi pada 70.1 peratus pada S3 (S2: 70 peratus). Jualan perdagangan pengedaran meningkat lebih kukuh daripada 5.7 peratus pada S2 kepada 6.8 peratus pada S3.
"Walau bagaimanapun, kami berpendapat perbelanjaan pengguna adalah terhad memandangkan gaji sederhana dalam kedua-dua sektor pembuatan (tiga peratus pada S3 berbanding 3.6 peratus pada S2) dan sektor perkhidmatan (3.6 peratus pada S3 berbanding 3.9 peratus pada S2),” katanya dalam nota penyelidikan pada Jumaat.
Bank Islam juga berkata, permintaan luar yang lembap dijangka mengehadkan pertumbuhan dengan eksport menjunam sebanyak 15.2 peratus pada S3 berbanding negatif 11.1 peratus pada S2.
"Daripada pemerhatian, dagangan Malaysia dengan rakan dagangan utamanya menunjukkan penurunan tetapi pulih, iaitu melalui eksport ke AS (S3: negatif enam peratus berbanding S2: negatif 10.5 peratus), Kesatuan Eropah (S3: negatif 6.3 peratus berbanding S2: negatif 20.3 peratus) dan China (S3: negatif 11.5 peratus berbanding S2: negatif 9.2 peratus),” katanya.
Ia berkata, perdagangan luar yang menurun dipercayai disebabkan ketidaktentuan ekonomi global di tengah-tengah persekitaran kadar faedah global yang tinggi, ketegangan geopolitik dan masalah hartanah di China.
"Oleh itu, lebihan dagangan menyusut sebanyak 9.1 peratus pada S3 berbanding negatif 9.2 peratus pada S2, yang mungkin akan menahan angka eksport bersih,” katanya.
Bagi suku keempat 2023 (S4 TK2023), Bank Islam berkata, ia menjangkakan KDNK berkembang pada pertengahan dua peratus tahun ke tahun berikutan naratif kadar faedah yang lebih tinggi dalam jangka masa yang lama oleh bank-bank pusat utama dan permintaan global yang melembap, mengheret eksport ke arah aliran negatif yang lebih lama.
Bank itu berkata, ia mengekalkan unjuran KDNK setahun penuh kepada 3.7 peratus, mewakili kelembapan daripada pengembangan 8.7 peratus yang dicatatkan pada 2022, sebahagiannya mencerminkan kesan-kesan asas yang menggalakkan.
"Walaupun sumbangan daripada perdagangan dijangka perlahan berikutan cabaran luaran dengan kelemahan dalam ringgit yang mengheret perdagangan lebih rendah, permintaan domestik akan kekal berdaya tahan disokong oleh keadaan pasaran buruh yang bertambah baik dan inflasi yang mereda.
"Kami menjangkakan pengangguran akan beransur-ansur kembali ke tahap prapandemik, menurun kepada 3.4 peratus pada 2023 daripada 3.8 peratus pada 2022," katanya.
Bank itu menambah ia juga mengunjurkan inflasi akan menurun kepada 2.7 peratus pada 2023 daripada 3.3 peratus pada 2022 disebabkan sebahagiannya oleh kesan asas yang tinggi dan masalah rantaian bekalan yang semakin berkurangan.