KUALA LUMPUR - Pengguna lebuh raya masih perlu menyentuh kad Touch n Go, dan melakukan transaksi SmartTAG atau RFID di plaza tol kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) untuk rekod perjalanan, susulan keputusan kerajaan untuk memberikan tol percuma sempena sambutan Deepavali.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, namun begitu tiada sebarang bayaran tol akan dikenakan dan pengguna lebuh raya di plaza tol sistem tertutup akan turut menikmati faedah berkenaan ketika melalui plaza tol keluar sepanjang tempoh dua hari yang ditetapkan.
"Bagaimanapun, pemberian tol percuma tidak ditawarkan di plaza tol lebuh raya di sempadan negara iaitu di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Plaza Tol Tanjung Kupang (Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura - Linkedua),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menasihatkan pengguna Touch n Go supaya memeriksa status kad masing-masing, merancang perjalanan dengan teliti, pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan berehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan.
"Ini bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol jika terdapat pengguna menggunakan kad Touch n Go yang tidak aktif dan telah dinyahaktif.
"Kepada orang ramai yang ingin bergerak masa hari-hari puncak, terutamanya pada dua hari berkenaan, PLUS menasihatkan supaya mengikuti jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang telah dikeluarkan oleh PLUS sebelum ini,” katanya.
Sebelum itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan mengumumkan kerajaan bersetuju untuk memberikan tol percuma selama dua hari kepada pengguna lebuh raya pada hari Sabtu dan Ahad sempena sambutan Deepavali. - Bernama