Ops Ihsan: Penghantaran kedua bantuan buat rakyat Palestin

Iklan
Kerja-kerja memuatkan barang bantuan kemanusiaan ke dalam pesawat kargo sewaan khas semasa penghantaran kedua barangan untuk rakyat Palestin di Gaza di Terminal Kargo KLIA malam ini.- Foto: Bernama

SEPANG - Pesawat kargo khas yang membawa penghantaran kedua bantuan kemanusiaan sumbangan Malaysia untuk rakyat Palestin menerusi Ops Ihsan berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa El-Arish, Mesir, malam ini.

Pesawat kargo khas itu berlepas kira-kira jam 11 malam dari Terminal Kargo, Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di sini membawa barangan keperluan utama seberat 20 tan antaranya makanan, barangan bayi serta perubatan.

Iklan
Iklan

Penghantaran kedua itu menjadikan jumlah barangan bantuan dihantar Malaysia mencecah kepada 40 tan setelah melakukan penghantaran pertama melibatkan barangan seberat 20 tan pada 3 Nov lepas.

Penghantaran itu merupakan sebahagian daripada 50 tan barangan berjumlah lebih RM7 juta yang dikumpulkan untuk Ops Ihsan.

Iklan

Baki barangan bantuan seberat 10 tan dijangka dihantar dalam penerbangan ketiga dalam masa terdekat.

Fadillah menyempurnakan majlis penghantaran kedua barangan keperluan utama bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin di Gaza melalui penerbangan kargo sewaan khas di Terminal Kargo KLIA malam tadi. Foto: Bernama

Sebaik bantuan berkenaan tiba di Mesir, barangan berkenaan akan diserahkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir sebagai rakan kerjasama bagi membawa masuk bantuan ke Palestin melalui pintu sempadan Rafah-Gaza.

Iklan

Majlis pelepasan penghantaran kedua itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof yang turut disertai Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin.

Turut hadir Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan Jismi Johari, Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali serta ketua perwakilan asing.

Ketika ditemui media di sini malam ini, Fadillah merakamkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat penerbangan dan petugas logistik yang bersama menjayakan misi bantuan kemanusian itu.

"Kita doakan perjalanan penghantaran (bantuan) ke Gaza dipermudahkan dan selamat sampai kepada rakyat Palestin yang amat memerlukan bantuan ini," katanya.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Oktober lepas telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa.

Ops Ihsan merupakan inisiatif yang dilancarkan Kementerian Luar bersama lebih 50 NGO antaranya Global Peace Mission Malaysia, Mercy Malaysia, BeVital, MyAqsa Defenders, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Cinta Gaza Malaysia dan Malaysian Relief Agency (MRA). - Bernama