[EKSKLUSIF] GRO hanya tunggu di rumah

Iklan
PDRM mengesan pelbagai taktik pusat hiburan hasil serbuan yang dilakukan. Gambar kecil: Kamarul Zaman

[Eksklusif] JOHOR BAHRU - Taktik terbaharu sindiket yang menawarkan khidmat gadis pelayan pelanggan (GRO) dikesan tidak lagi menunggu pelanggan di pusat hiburan, sebaliknya menanti pesanan di rumah.

Modus operandi itu antara yang dikesan polis Johor hasil 527 serbuan yang dilaksanakan di pusat hiburan di negeri itu pada tahun ini bagi tempoh 10 bulan sejak Januari.

Iklan
Iklan

Difahamkan, GRO dalam kalangan wanita warga asing ini ditempatkan di premis kediaman dan hanya akan pergi ke pusat hiburan setelah mendapat permintaan daripada pelanggan melalui orang tengah yang berperanan sebagai ‘mummy’.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, taktik itu dilakukan sindiket terbabit bagi mengelakkan risiko wanita-wanita berkenaan ditangkap.

Iklan

Beliau berkata, sekiranya ada pesanan, baru mereka akan muncul ke pusat hiburan seperti yang diminta oleh pelanggan.

Polis terus melakukan pemantauan dan tindakan walaupun setakat ini tiada elemen kongsi gelap dikesan.

"Saya percaya ada ejen yang membawa wanita warga asing masuk untuk bekerja sebagai GRO.

Iklan

"Siasatan berdasarkan kes sebelum ini mendapati terdapat ejen-ejen yang kini berada di negara asal mereka di mana ejen ini pernah bekerja di sini sebelum ini dan mereka mendapat komisen daripadanya.

"Ada juga dalam kalangan mereka yang telah pulang dan menjadi ejen di negara asal mereka pula,” katanya eksklusif kepada Sinar Harian.

Kamarul Zaman berkata, untuk rekod statistik dalam tempoh 10 bulan ini, polis Johor telah menahan seramai 511 warga tempatan terdiri daripada 410 lelaki serta 101 wanita.

Selain itu, katanya, seramai 897 wanita asing disyaki GRO turut ditahan di samping 89 lelaki asing.

"Siasatan mendapati warga tempatan itu ada yang berperanan sebagai pekerja pusat hiburan, orang tengah yang menguruskan GRO serta pelanggan,” ujarnya.

Tambah Kamarul Zaman, siasatan lebih mendalam turut dijalankan ke atas setiap tangkapan GRO ini untuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur pemerdagangan orang atau paksaan.

Ujar beliau, setakat ini di Johor tiada sebarang kegiatan pemerdagangan orang dikesan membabitkan wanita asing atau tempatan yang dikerah untuk dijadikan sebagai GRO atau pelacur di pusat hiburan.

Katanya lagi, selain unsur pemerdagangan, Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor turut menyiasat sama ada aktiviti pusat hiburan ini melibatkan elemen kongsi gelap.

"Setakat ini tiada elemen kongsi gelap dikesan, namun pemantauan dan tindakan tetap dilaksanakan pihak polis,” katanya.

PDRM mengesan pelbagai taktik pusat hiburan yang menggunakan khidmat GRO warga asing bagi menarik pelanggan.

Tangkapan meningkat

Kamarul Zaman berkata, berdasarkan statistik Op Noda sehingga bulan Oktober tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 36 peratus jika dibandingkan dengan tahun lalu.

Ujarnya lagi, jika serbuan dibuat dan didapati pusat hiburan tersebut beroperasi tanpa lesen, tindakan akan diambil di bawah Seksyen 6(2) Enakmen Negeri Johor, manakala Seksyen 11(2) Enakmen Negeri Johor bagi mana-mana premis yang didapati melanggar syarat lesen.

"Bagi wanita warga asing yang didapati bekerja sebagai GRO di pusat hiburan, pihak polis akan mengambil tindakan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana bekerja tanpa permit dan jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara atau didenda atau kedua-duanya sekali.

"Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63 pula akan dikenakan ke atas majikan yang menggaji tanpa permit yang boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

PDRM menahan GRO warga asing dalam serbuan pusat hiburan.

Kata beliau, sekiranya terdapat unsur menawarkan pelacuran, siasatan akan dibuat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana melakukan persundalan.

Ketika ditanya kemungkinan terdapat pegawai atau anggota yang bersekongkol melindungi pusat hiburan tertentu atau terlibat dengan sebarang aktiviti jenayah dan dadah, Kamarul Zaman menegaskan, pihaknya memandang serius isu terbabit.

"Bagi yang bersekongkol, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pegawai atau anggota.

"Selain daripada itu, pegawai dan anggota juga tidak dibenarkan memasuki pusat hiburan kecuali ada penugasan tertentu.

"Pemantauan ini akan dilakukan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS). Kalau ada yang ingkar arahan, tindakan akan diambil serta-merta,” ujarnya.

Justeru, polis Johor menyeru masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat kepada polis kerana ia adalah penting bagi membantu meningkatkan keselamatan komuniti.

"Aduan dan maklumat berkaitan jenayah atau kejadian mencurigakan kepada pihak polis dapat membantu mengurangkan indeks jenayah dalam usaha menjaga keamanan bersama.

"Maklumat atau aduan ini boleh disalurkan melalui Hotline Polis Johor di aplikasi WhatsApp 019-279 2095 atau Bilik Gerakan IPK Johor di talian 07-221 2999,” katanya.

Statistik serbuan pusat hiburan bagi tempoh Januari - Oktober 2023

Jumlah serbuan

- 527

Jumlah pecahan tangkapan

- 410 Lelaki tempatan

- 101 Perempuan tempatan

- 89 Lelaki warga asing

- 897 Perempuan warga asing

Tindakan undang-undangSeksyen 372B Kanun Keseksaan

- Seksyen 6(2) Enakmen Negeri Johor

- Seksyen 11(2) Enakmen Negeri Johor

- Akta Imigresen 1959/63

- Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963