Korban masa, kudrat demi suami yang terlantar

Iklan
Zuriaty tidak pernah berputus asa berharap suami kembali normal

KOTA BHARU - Harapan melihat suami kembali normal selepas terlantar akibat darah tinggi kronik menjadi kekuatan seorang isteri berkorban masa dan kudrat berulang-alik 20 kilometer sehari bersama dua anak kecilnya.

Setiap hari, Zuriaty Mohd Zin, 32, memandu kereta dari rumahnya di Kampung Gertok Serong, Pasir Mas ke rumah kakak ipar di Kampung Beta Hilir, Kota Bharu untuk menguruskan suami, Mohd Zainuddin Hussin, 39, sebelum pergi bekerja.

Iklan
Iklan

Zuriaty bersyukur kerana mendapat bantuan kakak iparnya yang Norma Hussin dan Azma Hussin, 50-an untuk bersama menjaga suaminya sejak Januari lalu.

"Kakak ipar, Norma yang bekerja sebagai tukang cuci di masjid meluangkan banyak masa kerana suami saya berada di rumahnya," katanya.

Iklan

Berkongsi kisah itu, Zuriaty memberitahu, suaminya mengalami kekejangan selepas pulang meraikan ulang tahun keempat anak sulung mereka, Muhammad Zikri Naufal, 10 Januari lalu.

Ketika itu juga kata Zuriaty lagi, dia sedang mengandungkan anak kedua mereka Nurul Zafyra Nawra.

Iklan

"Suami tiba-tiba mengadu sakit leher dan merebahkan badan sebelum mengalami sawan," katanya.

Jelasnya, akibat kejadian itu, Mohd Zainuddin mengalami darah beku di kepala dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) kira-kira sebulan selepas prosedur pembedahan dan menebuk leher untuk pernafasan.

"Alhamdulillah, keluarga suami terutama dua kakak ipar banyak membantu kerana bergilir-gilir menjaga suami sepanjang tiga bulan di hospital.

"Dengan kudrat yang ada dan kandungan tujuh bulan saya meneruskan kerja pada waktu siang dan menjaga suami selepas pulang dari kerja.

"Sebaik keluar dari ICU, suami dirawat di wad biasa selama dua bulan," katanya lagi.

Zuriaty akan membawa anak-anak bertemu Mohd Zainuddin setiap hari

Bagaimanapun, bantuan daripada pencen ilat berjumlah RM1,491 sebulan dan bantuan bulanan daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) berjumlah RM1,000 yang diperoleh suami dapat mengurangkan beban yang digalas Zuriaty dan suami.

"Bantuan itu dapat menampung keperluan suami manakala wang gaji saya sebagai juruwang di sebuah kedai serbaneka di Pasir Mas boleh digunakan sebagai simpanan membesarkan anak-anak," jelasnya.

Tambah wanita itu, kini setiap tiga bulan sekali suaminya perlu berjumpa pakar di HUSM tetapi mendapat bantuan individu yang sedia membantu dengan ikhlas.

Mereka yang bersimpati dan ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan dengan menghubungi Zuriaty di talian ‪011‑25459411‬.