JENGKA - Felda Jengka 24 di sini mengambil langkah dan persediaan rapi termasuk mengenal pasti golongan berisiko untuk mendapat bantuan segera pada musim tengkujuh.
Ketua Peneroka, Razak Daud, seramai 39 penduduk terdiri ibu mengandung, orang kurang upaya (OKU), pesakit kronik dan warga emas uzur akan dibawa keluar segera jika perlu sewaktu bencana tersebut.
Menurutnya, ia antara langkah yang diambil susulan penempatan itu juga antara lokasi berisiko banjir.
"Macam kita di Felda Jengka 24, memang dah ada jawatankuasa ini dan saya cadangkan Felda lain juga mewujudkan jawatankuasa serupa.
"Ini bagi memudahkan urusan penyaluran bantuan dan operasi memindahkan penduduk terjejas banjir jika bencana itu berlaku," kata beliau.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan media memaklumkan hujan lebat dijangka bermula 11 November ini hingga Januari tahun hadapan.
Ujar Razak lagi, jawatankuasa khas bencana Felda Jengka 24 dianggotai pemimpin setempat dan dibantu badan bukan kerajaan (NGO) seperti Kami Anak Felda, Majlis Belia Felda Malaysia, Gabungan Peneroka Wanita dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Tambah beliau, penduduk terjejas banjir di kawasan tersebut akan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Jengka 24.