GAZA - Tentera Israel dilaporkan telah menyerang sebuah kompleks hospital terbesar di Gaza, mengakibatkan korban di kawasan yang dianggap sebagai tempat perlindungan orang awam.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, salah satu kawasan sasaran rejim Zionis Israel termasuk Hospital Al Shifa yang menjadi tempat perlindungan ribuan penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal akibat perang itu.
Israel kini mengambil langkah kejam dengan menyasarkan hospital dengan alasan untuk menghapuskan kumpulan pejuang Hamas yang didakwa mendapat perlindungan di pusat dan kompleks kesihatan.
BBC melaporkan, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) juga mengepung beberapa laluan masuk dan kawasan sekitar hospital dan berada dalam keadaan siap siaga untuk melancarkan serangan.
Ketua Pengarah Hospital Al Shifa, Mohd Abu Salmiya berkata, angka kematian orang awam di kompleks kesihatan itu semakin meningkat, sambil menyifatkan ia merupakan jenayah pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Israel.
"Serangan tersebut mengakibatkan rasa trauma dalam kalangan petugas kesihatan yang setiap kali mendengar letupan bom berhampiran.
"Tindakan serangan oleh rejim Zionis ini merupakan serangan dan perang terhadap hospital serta orang awam yang mencari perlindungan,” ujarnya.
Media melaporkan sebuah kapal tentera laut Israel terlibat serta kereta kebal telah mengepung hospital terbesar di wilayah itu.
Orang awam mengatakan mereka boleh mendengar letupan dan tembakan di sekitar hospital dan kereta kebal Israel berada kira-kira 100m (328 kaki) jauhnya.
Mereka yang tinggal di Hospital Al Shifa sebahagian besarnya adalah warga emas yang tidak dapat melakukan perjalanan jauh ke selatan Gaza untuk mendapat perlindungan.
Sementara itu, berlaku satu serangan oleh rejim Zionis Israel di sekitar Hospital Al-Quds sejak Jumaat malam. - Agensi/Awani