PARIS - Presiden Perancis, Emmanuel Macron menggesa Israel untuk segera menghentikan pembunuhan terhadap wanita dan bayi dalam perang antara Palestin dan Israel.
Dalam satu temu bual eksklusif di Istana Élysée bersama BBC, beliau berkata, tiada justifikasi yang tetap untuk tindakan kejam itu.
"Walaupun mengiktiraf hak Israel untuk melindungi dirinya kami (Perancis) menggesa mereka untuk menghentikan pengeboman ini,” tegas beliau.
Bagaimanapun, Macron menegaskan, Perancis juga dengan jelas mengutuk tindakan kumpulan pejuang Hamas dari Palestin.
"Perancis seperti Israel, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan negara barat lain yang menganggap Hamas sebagai organisasi pengganas,” ujarnya.
Ditanya sama ada beliau mahu pemimpin dunia termasuk AS dan UK menyertai gesaan gencatan senjata, Macron berharap mereka akan turut serta untuk bersetuju.
Bercakap sehari selepas persidangan bantuan kemanusiaan di Paris mengenai perang di Gaza, Macron berkata, kesimpulan yang jelas untuk penyelesaian itu adalah gencatan senjata kedua-dua pihak.
"Tiada penyelesaian lain selain gencatan kemanusiaan dan gencatan senjata, yang akan membolehkan (kita) melindungi semua orang awam,” ujar Presiden Perancis itu lagi. - Agensi/Awani