PENGENDALI Terengganu FC II (TFC II), Hairuddin Omar mahu para pemainnya tampil dengan persembahan terbaik untuk menjulang Piala MFL ketika membuat perhitungan dengan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu.
Menurutnya, JDT II sememangnya pasukan yang memiliki kelebihan berbanding pasukannya, namun percaya skuad Pantai timur itu mampu mencipta kejutan.
"Memang saya jangkakan apabila perlawanan akhir kita lihat sebelum ini pasukan JDT akan menurunkan pasukan terkuat mereka. Itu di pihak mereka memang kita harus hadapi.
"Cuma di pihak kami, perlu melakukan persiapan rapi dan jika mahu menang esok, kita tak perlu memikirkan sangat keupayaan pasukan lawan. Apa yang penting cara kita menghadapi perlawanan ini.
"Saya difahamkan juga mereka akan menurunkan beberapa pemain dari Liga Super dan ini cabaran yang menarik untuk pemain saya. Kami tidak perlu gentar untuk menghadapi mereka,” katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan pada Jumaat.
Dalam pada itu, pengendali JDT II, Echeverria Mariano Raul menyifatkan perlawanan akhir tersebut sebagai satu aksi sengit dan akan melakukan yang terbaik untuk muncul juara.
"Persiapan kami amat baik untuk perlawanan ini dan kami akan buat sehabis baik untuk memenangi piala ini. Saya percaya dengan kemampuan pemain dan harapan saya tinggi untuk mereka.
"Semua pemain juga berada dalam keadaan cergas dan apa yang penting mental mereka dalam keadaan bersedia untuk mengharungi aksi final yang penuh mencabar ini,” katanya.