Hantar gajet lama, rosak ke pusat pengumpulan e-sisa MCMC - Nie Ching

Iklan
Nie Ching menyiram pokok hujan-hujan yang ditanamnya sempena ulang tahun ke-25 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bertemakan ‘Harmoni Digital, Simfoni Bumi’ di Taman Tasik Cyberjaya, pada Sabtu. - Foto Bernama

CYBERJAYA - Orang ramai boleh menghantar gajet lama atau rosak ke pusat pengumpulan e-sisa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) supaya ia dapat dikitar semula atau dilupuskan melalui proses yang betul, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching.

Dengan dianggarkan 364 juta e-sisa dihasilkan setiap tahun di negara ini, Nie Ching berkata, Kementerian Komunikasi dan Digital melalui MCMC menggiatkan inisiatif hijau menerusi program KITAR yang mengumpul dan mengitar semula gajet lama bagi mencapai matlamat untuk mengurangkan jejak karbon.

Iklan
Iklan

"Jangan buang sebarangan atau cara biasa ke tong sampah, sebab ada cara untuk kita kitar semula.

"Setiap e-waste (e-sisa) yang dihantar ke MCMC contohnya akan dihantar ke kontraktor yang berkepakaran. Kita pastikan bahan tersebut mempunyai elemen yang akan diekstrak jika dapat pakai semula atau dibuang menerusi prosedur ditetapkan, untuk mengurangkan e-waste di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program ‘Carbon Footprint En Route to Nature’ di sini pada Sabtu.

Iklan
Nie Ching bersama peserta larian fun run semasa majlis perasmian Program ‘Carbon Footprint En Route to Nature’ sempena ulang tahun ke-25 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), di Taman Tasik Cyberjaya,pada Sabtu. - Foto Bernama

Nie Ching berkata, jumlah e-sisa akan sentiasa meningkat memandangkan setiap orang mempunyai sekurang-kurangnya dua gajet seperti komputer riba dan telefon bimbit.

Sementara itu, program hari ini anjuran MCMC bersempena ulang tahun ke-25 suruhanjaya itu yang bertemakan ‘Harmoni Digital, Simfoni Bumi’ bertujuan menyelia dan mengurangkan jejak karbon serta meminimumkan impak alam sekitar, dengan tumpuan kepada perubahan iklim menerusi penanaman pokok.

Iklan

Nie Ching berkata, lebih 300 pokok ditanam oleh warga MCMC pada program berkenaan. - Bernama