IPOH - Kebergantungan import makanan yang tinggi perlu ditangani bagi meningkatkan tahap keterjaminan makanan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada tahun 2022, import makanan negara mencecah RM75.5 bilion.
Menurutnya, potensi sektor agromakanan perlu dikembangkan sebagai salah satu penyumbang utama ekonomi negara.
"Prestasi pertumbuhan sektor agromakanan di negara kita kekal positif walaupun berdepan dengan ketidaktentuan pasaran ekonomi global dan domestik.
"Fokus kerajaan Madani masa kini berada dalam landasan yang tepat untuk mengangkat dan memartabatkan sektor agromakanan," katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini pada Sabtu.
Hadir sama pada majlis itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Anwar berkata, keterjaminan makanan diberikan tumpuan khusus dalam Agenda Mampan Belanjawan 2024 yang bertemakan Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat.
Katanya, Belanjawan Madani Kedua itu merupakan cerminan kepada usaha memperhebat kelangsungan industri agromakanan negara bagi meningkatkan pengeluaran makanan tempatan dan mengurangkan kebergantungan import.
Beliau berkata, pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan dalam menyediakan insentif secara inklusif kepada pengeluar makanan di dalam belanjawan tersebut.
Jelasnya, pengumuman belanjawan berkenaan itu bagaimanapun perlu disusuli dengan tindakan tuntas Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memastikan pelaksanaannya berjaya.
Sementara itu, Anwar berkata, HPPNK merupakan satu program istimewa yang diadakan secara dwi- tahunan bagi meraikan golongan peladang, penternak dan nelayan di negara ini.
Katanya, penganjuran program itu antara lain sebagai manifestasi penghargaan kerajaan terhadap sumbangan pengeluar makanan walaupun terkesan dengan pelbagai cabaran sektor agromakanan di peringkat global dan tempatan seperti cuaca ekstrem akibat perubahan iklim, krisis geopolitik global, kenaikan kos input pertanian khususnya baja dan racun.