SHAH ALAM - Selepas lapan hari gagal menghubungi keluarga di Gaza, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri melahirkan rasa syukur kerana mereka masih hidup.
Khabar gembira itu dikongsikan beliau menerusi hantaran di Facebook sebentar pada Sabtu.
"Alhamdulillah hari ini saya diberi dua hadiah yang besar. Yang pertama ialah ahli keluarga baru untuk kami, adinda Saufi yang diberi amanah menjaga adik perempuan bongsu kami Hannan.
"Kedua ialah gambar yang saya dapat lewat jam 1 pagi semalam, khabar bahawa anak-anak dan isteri saya masih hidup setelah lapan hari cuba berhubung dengan mereka dan gagal mendapat berita," katanya pada Sabtu.
Beliau berkata, keluarganya menempuh perjalanan yang mencabar untuk menyelamatkan diri ke Selatan Gaza.
"Keluarga saya berada di Selatan Gaza yang agak tenang dan perjalanan ‘maut’ mereka lalui untuk sampai ke sana cukup untuk dibuat filem lengkap.
"Gaza semakin genting, keadaan jauh lebih teruk dari awalnya. Tetapi untuk hari ini, alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah,” ujarnya.