Jualan Rahmah: 2,000 ayam 'licin' dalam masa dua jam

Iklan
Gambar hiasan. - Foto Bernama

KUALA TERENGGANU - Lebih 2,000 ekor ayam berharga RM6.50 sekilogram habis dijual pada program Jualan Rahmah Bergerak di pekarangan Muzium Negeri Terengganu di sini pada Sabtu.

Selain ayam, orang ramai juga tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan barangan keperluan lain seperti telur, minyak masak peket, sayur-sayuran dan buah-buahan yang dijual 40 peratus lebih murah daripada harga pasaran semasa.

Iklan
Iklan

Peniaga ayam, Kamal Affendi Mohd Noor, 47, berkata walaupun hujan orang ramai berkunjung seawal jam 7.30 pagi untuk mendapatkan bekalan ayam yang dijual pada harga jauh lebih murah berbanding pasar raya serta pasar basah.

Beliau berkata, selain suri rumah, golongan peniaga juga tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan bekalan kerana tiada had pembelian ditetapkan.

Iklan

"Jualan dibuka pada jam 8 pagi, tetapi jam 7.30 pagi dah ada pelanggan menunggu. Hari ini kita bawa bekalan 4,000 ayam. Insya-ALLAH cukup untuk semua orang.

"Kebanyakan pelanggan beli lebih dua ekor seorang. Malah, ada yang sampai lima ekor untuk buat stok kerana anak ramai," katanya ketika ditemui di Jualan Rahmah Bergerak di sini pada Sabtu.

Suri rumah, Tengku Shakila Tengku Mansoor, 35, berkata, beliau dapat menjimatkan kira-kira 30 peratus perbelanjaan dengan membeli-belah di Jualan Rahmah.

Iklan

Katanya selain ayam, barangan keperluan yang menjadi tumpuan termasuk beras, tepung, minyak masak dan telur yang merupakan barangan asas dan wajib ada di rumah.

"Dengan adanya Jualan Rahmah tidak terasa sangatlah beban kenaikan harga barang. Malah, penamatan subsidi ayam pun tidaklah memberi kesan ketara kepada rakyat.

"Cuma kalau boleh janganlah hanya hujung minggu, buatlah juga Jualan Rahmah secara tetap di mana-mana tempat untuk ringankan lagi beban rakyat," katanya yang sudah lebih 10 kali berbelanja menerusi program itu.

Sementara itu di Bukit Mertajam, PULAU PINANG, orang ramai sanggup berpanas dan beratur panjang untuk membeli barangan keperluan di Jualan Rahmah Bergerak di Kampung Petani, Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir.

Tinjauan Bernama mendapati seawal jam 8 pagi penduduk kampung dan kawasan sekitarnya mula beratur tanpa mempedulikan cuaca yang mulai panas sambil berpayung, malah ada juga yang membawa anak.

Salmah Ishak, 68, dari Bukit Indera Muda berkata, jualan seperti ini sangat membantu terutama ibu tunggal sepertinya yang tidak mempunyai pendapatan dan hanya bergantung kepada anak-anak untuk perbelanjaan harian.

"Hari ini mak cik beli beras, ayam, udang, bawang dan barangan keperluan asas lain untuk buat stok di rumah.

"Harga memang murah dari kedai... terima kasih kepada kerajaan atas inisiatif ini yang sangat membantu golongan kurang mampu,” katanya.

Pekerja swasta Mohd Aziz Ibrahim, 43, juga berasa lega kerana dia boleh menjimatkan perbelanjaannya melalui Jualan Rahmah yang menawarkan harga jauh lebih murah berbanding pasar raya atau kedai biasa.

"Terima kasih kerajaan kerana mendengar keluhan golongan B40 seperti saya dengan memperkenalkan jualan murah seperti ini dan saya harap inisiatif sebegini dapat diteruskan,” katanya. - Bernama