Penyakit tibi bahaya jika tidak dikawal dari awal!

Iklan
BAHANA rembesan tibi.

PENYAKIT tuberkulosis atau tibi adalah penyakit berjangkit berpotensi memberi kesan serius terhadap kesihatan paru-paru seseorang.

Antara penyakit tertua di dunia, ramai juga menggelarkannya sebagai batuk kering disebabkan penghidapnya akan batuk berpanjangan antara dua minggu atau lebih.

Iklan
Iklan

Wujud sejak 1940-an lagi, tibi sangat digeruni akibat kuman Mycobacterium bacillus.

Mudahnya ia disebarkan hanya dengan titisan kecil melalui batuk atau bersin.

Iklan

Lebih menakutkan, sekiranya penyakit yang sepatutnya perlu mengambil beberapa jenis ubat selama beberapa bulan untuk membasmi jangkitan dan mencegah perkembangan rintangan antibiotik itu tidak dirawat dengan segera.

Implikasinya boleh sampai ke peringkat mencabut nyawa!

Iklan

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan 10 juta kes baharu tibi di seluruh dunia pada tahun 2017, kira-kira 24,000 kes baharu setiap hari dan hampir 1.6 juta kematian dengan 4,000 kematian setiap hari.

Adalah sukar untuk menentukan bilakah penyakit tibi dapat dihapuskan termasuk di Malaysia.

Selain dikatakan akibat pendatang haram yang tidak disaring, banyak juga kes kerana pesakit lambat atau tidak mendapatkan rawatan kerana jahil tentang bahana penyakit itu.

Mudahkah tibi dirawat? Apakah langkah pencegahan terbaik? Ikuti kupasannya pada edisi Sihat:Aktif minggu ini.

Tibi: Kelewatan membawa maut

Kesedaran orang ramai terhadap kuman, punca tibi masih rendah

SETIAP tahun sekurang-kurangnya 1,500 hingga 2,000 kes kematian akibat batuk kering atau tibi (TB) direkodkan dengan purata enam kematian setiap hari di Malaysia.

Lebih serius kes baharu tibi yang direkodkan dianggarkan antara 20,000 hingga 25,000 setahun.

Menurut Ketua Sektor Tibi/Kusta, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Mohamed Naim Abdul Kadir, kebanyakan kes kematian akibat tibi yang disifatkan masih tinggi itu adalah disebabkan pesakit lewat mendapatkan rawatan di hospital.

DR Mohamed Naim.


Keadaan itu membimbangkan kerana kesedaran orang ramai terhadap kuman Mycobacterium tuberculosis yang menjadi punca tibi masih lagi rendah.

Katanya, sehingga kini transmisi jangkitan tibi masih aktif walaupun pelbagai rawatan diperkenalkan dan peningkatan pengesanan kes telah dijalankan.

Kes tertinggi

Pada 2018, lima negeri mencatatkan kes baharu tibi tertinggi iaitu Selangor 5,071 kes, Sabah 5,008 kes, Sarawak, 3,122 kes, Johor 2,150 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya, 2,017 kes.

Dr Mohamad Naim berkata, Selangor mencatatkan kes tertinggi disebabkan kepadatan penduduk yang tinggi terutama penduduk tahap sosioekonomi yang rendah di bandar.

Sementara di Sabah, faktor kes tibi tinggi disebabkan penduduk bukan warganegara tidak membuat pengesanan awal kerana bimbang dengan penguatkuasaan undang-undang, ekoran status kewarganegaraan mereka.

Tahun lepas, kes tibi direkodkan menurun sedikit iaitu 25,837 kes, berbanding tahun 2017 dengan 26,168 kes baharu."Tahun ini kita lihat ada trend peningkatan kes dan kita jangka akan lebih tinggi lima peratus berbanding tahun 2018,” katanya sambil menambah kadar kematian tibi yang sedang dalam rawatan akan turut meningkat.

Beliau menekan betapa pentingnya pengesanan awal kes tibi bagi mengelak kematian kerana pesakit tibi boleh sembuh dengan mematuhi jadual rawatan yang ditetapkan.

"Dua penyakit berjangkit yang tinggi di Malaysia adalah tibi dan denggi. Berbanding denggi, jumlah kes antara 50,000 hingga 100,000 kes setahun tetapi kes kematian hanya sekitar lebih kurang 100 kes. Namun, bagi tibi, kes sekitar 20,000 hingga 25,000 kes setahun tetapi kematian dalam lingkungan 1,500 hingga 2,000 kes setahun," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dr Mohamad Naim berkata, terdapat jurang yang masih luas, kira-kira 10 peratus dalam pengesanan kes baharu di Malaysia sepertimana ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Pada masa ini, kes baharu yang dikesan sekitar 25,000 kes sedangkan WHO menyasarkan sepatutnya Malaysia mengesan 33,000 kes baharu."Fokus kita sekarang menjurus kepada kes-kes yang tidak dapat dikesan dengan melakukan saringan kepada kumpulan yang berisiko mendapat tibi bagi mengurangkan jurang itu," katanya.

Kumpulan yang berisiko mendapat tibi ialah pesakit HIV dan buah pinggang, penghuni penjara dan pusat jagaan warga emas, pesakit diabetes, perokok tegar, pelanggan klinik metadon dan petugas kesihatan (bahagian berisiko mendapat jangkitan penyakit).

Faktor pendatang asing

Malaysia bukan dalam kalangan 30 negara yang mempunyai beban kes tibi tertinggi di dunia. Pun begitu, pekerja asing yang datang ke negara ini adalah dalam kalangan negara yang mempunyai beban kes tibi yang tinggi.

Pada masa ini kadar kes tibi di Malaysia mengikut perkiraan WHO adalah sekitar 92 kes bagi setiap 100,000 (92/100,000) penduduk. Antara negara yang mempunyai kes tibi tertinggi di dunia ialah Indonesia (395/100,000), Kemboja (380/100,000), Myanmar (365/100,000), Nigeria (322/100,000), Filipina (322/100,000), Bangladesh (255/100,000), Pakistan (270/100,000) dan India (217/100,000).

KES tibi di Malaysia


Di sebalik kebimbangan terhadap perkaitan antara pekerja asing dengan penyakit tibi, Dr Mohamed Naim berkata, agak sukar menyatakan mereka sebagai punca peningkatan kes tibi. Apa tidaknya, 87 peratus kes tibi yang berlaku adalah dalam kalangan rakyat Malaysia.

Hanya 13 peratus kes melibatkan warga asing yang dilaporkan, katanya. Bagaimanapun kebanjiran pendatang tanpa asing izin (PATI) ke negara ini yang tidak menjalani ujian saringan tibi seperti yang ditetapkan kerajaan menyumbang risiko penularan tibi di negara ini.

KES tibi berjaya dikesan melibatkan warga asing hanya menyumbang 13 peratus.


"Apa yang membimbangkan adalah kita tidak dapat kesan atau pasti berapa banyak kes tibi dalam kalangan PATI yang membanjiri negara ini," katanya.

Punca penyebaran

Dr Mohamed Naim berkata, penyebaran tibi sentiasa berlaku disebabkan kelewatan pesakit mendapatkan rawatan. Ini disebabkan persamaan penyakit tibi dengan simptom influenza seperti demam, selesema dan batuk berpanjangan melebihi dua minggu."Kadang perawat gagal mengesannya kerana sangka ia mungkin dek influenza.

"Lebih-lebih lagi jika doktor gagal bertanya sejarah pesakit, gejala dihadapi yang membolehkan doktor mengesyaki ia disebabkan tibi,” katanya sambil menggesa pesakit untuk segera ke klinik sekiranya mengalami gejala seperti demam berpeluh waktu malam, batuk berkahak dan berdarah serta hilang selera makan.

Kuman Mycobacterium tuberculosis disebarkan melalui udara dan individu yang dijangkiti tibi akan mengeluarkan bakteria itu apabila batuk, bersin, bercakap atau menyanyi. Bakteria tercemar yang berada di ruang udara pula akan menyebabkan orang sekelilingnya terdedah dengan jangkitan itu apabila menyedut udara tersebut.

Terutama individu yang rendah tahap imunisasi, berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan yang biasanya akan menjangkiti paru-paru dan boleh merebak menjangkiti organ lain seperti kelenjar, usus dan tulang melalui aliran darah.

"Biasanya tindak balas jangkitan akan dilihat dalam tempoh enam hingga lapan minggu selepas terdedah dengan individu yang dijangkiti tibi,” katanya. Bagaimanapun, Dr Mohamed Naim menjelaskan terdapat juga individu yang terdedah tidak menunjukkan gejala jangkitan tibi yang dikenali sebagai TB laten.

"Individu tibi laten tidak berbahaya dan tidak boleh menjangkiti individu lain," katanya sambil menjelaskan bahawa tibi laten boleh kekal sepanjang hayat di dalam badan individu sekiranya tidak dirawat.

Namun, katanya terdapat risiko antara 10 peratus hingga 15 peratus individu dengan tibi laten khususnya mereka yang lemah sistem imunisasi badan, akan mendapat tibi untuk sepanjang hayat.

Sasaran sifar tibi 2035

Dr Muhamed Naim berkata, pesakit tibi perlu mengikuti rejim rawatan antara tempoh enam bulan hingga 12 bulan bergantung kepada jenis tibi dan tahap keseriusan penyakit tersebut.

Rawatan pesakit tibi yang kebal ubatan biasa pula akan dipertingkatkan kualitinya dengan memperkenalkan rejim rawatan yang lebih pendek iaitu sembilan bulan berbanding 18 bulan sebelum ini.

Bagi individu yang disahkan mempunyai tibi laten, rawatan berupa ubat telah mula diberikan bagi menghalang kuman tersebut aktif dan dapat dibunuh sepenuhnya.

Sepanjang tempoh rawatan, semua pesakit tibi akan dipantau dari segi kesan sampingan rawatan dan perubahan jangkitan dengan mengambil beberapa ujian seperti sampel kahak, ujian kultur dan imbasan sinaran-x pada dada.

Pesakit tibi, menurut beliau akan turut diberikan buku rawatan bagi mencatat segala jenis ubat yang dimakan, dos dan bilangan hari semasa rawatan."Ini bagi memastikan pesakit makan ubat mengikut aturan jadual dan program pemantauan akan dibuat oleh petugas kesihatan sehingga mereka benar-benar sembuh," katanya.

Fasiliti di setiap hospital kerajaan juga ditambah seperti Gene Xpert bagi mempercepatkan diagnosis kes tibi yang kebal agar rawatan awal dapat diberikan. Katanya, kementerian berusaha mempertingkatkan pelbagai kajian penyakit tibi daripada aspek survelan, saringan, diagnosis dan rawatan untuk memastikan program Kawalan Tibi Kebangsaan sentiasa ke hadapan dan berjaya mencapai sasaran sifar tibi menjelang 2035.

"Kita jangkakan vaksin baharu untuk orang dewasa dan ujian-ujian baharu tibi akan keluar menjelang lima tahun akan datang," katanya.

-BERNAMA

MAPTB giat kempen, bantu pesakit batuk kering

SELEPAS mencapai kemerdekaan, Persatuan Pencegahan Tuberkulosis Malaysia (MAPTB) berjaya mendesak kerajaan untuk menggubal dan melaksanakan Program Tibi Negara (PTN).

Dengan pengurusan tibi secara sentralisasi, PTN kini mampu memperluaskan infrastruktur, kemudahan, kepakaran, rawatan dan program kesihatan awam yang lebih berfokus.

Presiden MAPTB, Ibrahim Hamzah berkata, pihaknya kini tidak putus memberikan kesedaran kepada orang ramai supaya mendapatkan rawatan perubatan lebih awal apabila dihinggapi gejala-gejala penyakit tibi.

Selain gerakan antitibi, MAPTB juga menggiatkan kempen kepada orang ramai tentang perkhidmatan percuma yang disediakan oleh kerajaan untuk mendiagnosis dan rawatan tibi.

Bengkel, seminar dan forum khusus mengenai tibi turut dianjurkan.

"MAPTB juga membantu menggalakkan pesakit tibi menjalani rawatan penuh dan memberi bantuan kewangan kepada pesakit yang amat memerlukannya.

"Kita tetap terus memberikan kesedaran berkaitan biarpun penglibatan komuniti di kawasan tumpuan agak terpencil dan kurang mendapat sambutan," katanya.

Bergerak ke seluruh negara, pada awalnya tujuan dan objektif MAPTB adalah menjana pendapatan dan membantu pesakit tibi dalam konteks memberi maklum balas secara aktif kepada mereka.

Menarik perkongsian Ibrahim yang mana sekitar tahun 40-an, pesakit tibi yang daif dibayar RM10 kepada mereka pada setiap bulan. Kini peruntukan bulanan meningkat kepada RM50 kepada setiap pesakit daif, sungguhpun keperluan sara hidup jauh lebih besar terutamanya dalam kalangan pesakit yang kehilangan pekerjaan atau sara hidup.

"Dahulu, kemudahan amatlah terhad dan tiada program khas mengenai tibi dilaksanakan.

"Bagaimanapun, pemimpin politik, pemimpin-pemimpin lain dan doktor profesional telah mengambil inisiatif menggerakkan kesedaran, memberikan bantuan kewangan serta membangunkan beberapa sanatorium untuk pesakit tibi,” ujar Ibrahim.

Kata beliau, MAPTB keseluruhannya membelanjakan kira-kira RM1.3 juta.

MAPTB juga telah memulakan kajian penyelidikan mengenai kesedaran tibi dan mendapati majoriti penduduk tidak faham tentangnya. Sebilangan yang tahu tentang tibi merasakan penyakit itu sudah lenyap dan mereka tidak berasa terancam.

ANEKDOT

Apa itu penyakit tibi?

Penyakit tuberkulosis (tibi) merupakan penyakit berjangkit kedua tertinggi yang direkodkan di Malaysia.

Berdasarkan data survelan 20 tahun kebelakangan ini, tibi semakin banyak dilaporkan.

Tuberkulosis adalah penyakit berjangkit bawaan udara yang boleh diubati, bagaimanapun, jangkitan boleh berulang sekiranya pesakit tidak mematuhi rejim rawatan.

Tanda dan gejala tibi

- Batuk melebihi dua minggu

- Demam Kahak berdarah

- Sakit dada apabila batuk atau tarik nafas panjang

- Berpeluh waktu malam

- Cepat letih atau lemah badan

- Hilang selera makan

-Turun berat badan

Empat kumpulan berisiko tinggi jangkitan tibi:

1. Mereka yang mempunyai hubungan rapat yang tinggal bersama atau menghabiskan masa yang lama dengan individu yang menghidap penyakit tibi.

2. Individu yang mempunyai daya tahan imuniti yang rendah seperti: Penyakit kencing manis (diabetes mellitus) Jangkitan HIV, Kanser Malnutrisi / Kurang zat makanan Penyakit Pulmonari Obstruktif Kronik (COPD) Penyakit buah pinggang di peringkat akhir

3. Individu yang hidup dalam persekitaran penuh sesak seperti: Gelandangan Penjara Institusi penjagaan seperti rumah orang tua dan tempat perlindungan

4. Penyalahgunaan dadah, kaki arak dan perokok

Sumber: myhealth.gov.my/