PENYANDANG juara, Anson Yeoh Boon Xiang mengesahkan mempertahankan kejuaraan Kejohanan Golf Amatur Terbuka Perak yang menyingkap tirai pada 3 sehingga 5 Disember depan.
Presiden Persatuan Golf Negeri Perak, Mohamad Azlin Mohd Nadzri ketika mengesahkan perkara itu berkata, juara dari Sarawak itu akan kembali mempertahankan kejuaraan kategori lelaki edisi ke-65.
"Kehadiran semula penyandang juara kategori lelaki dan wanita ini secara tidak langsung menjadikan edisi kali ini lebih sengit dan mencabar mental serta fizikal para pemain," katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.
Edisi ke-64 pada Ogos 2022, menyaksikan Anson dari Kuching mengungguli kategori lelaki dengan mengatasi pencabar terdekat, Malcolm Ting Siong Hung manakala Jin Xuan dari Wilayah Persekutuan pula mengatasi Mirabel Ting.
Tambah Mohamad Azlin, kejuaraan itu juga bagi mempromosi subsektor pelancongan sukan dan rekreasi sempena Tahun Melawat Perak 2024 yang turut mendapat sokongan kerajaan Perak.
"Juara kejuaraan kali ini akan membawa pulang hadiah RM3,500 bagi kategori lelaki manakala RM2,500 menanti kategori wanita.
"Penganjur juga menawarkan hadiah lumayan kepada pemain dalam menguji tumpuan dan daya saing para pemain.
"Proton X50 menanti pemain yang berjaya melakukan pukulan selubang (hole-in-one) pada saingan kali ini," katanya.